
SARIKEI: Kebakaran di tapak pelupusan sampah di Kilometer 24, Jalan Selalang memasuki hari keempat semalam disebabkan api masih marak membakar longgokan sampah dalam skala besar,
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Arrahman Chik berkata, operasi pemadaman diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Hilary Pitre Ambit bersama empat orang anggota bomba dengan bantuan tujuh kakitangan Majlis Daerah Sarikei (MDS) dan dua pekerja kontraktor luar.
“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati kebakaran masih berlaku dalam skala besar melibatkan timbunan sampah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba menggunakan satu aliran 300 kaki dari pili bomba ke pam GP 10/10, disambung ke pam jentera 300 kaki dan seterusnya satu aliran 400 kaki dengan satu muncung pancutan (nozzle) digunakan untuk memadam api.
Beliau berkata, keadaan cuaca panas dan angin kuat menyukarkan kawalan kebakaran kerana api mudah merebak.
“Sekitar 4.20 petang api telah merebak ke kawasan hutan berhampiran, namun berjaya dikawal daripada terus merebak.
“Dianggarkan kira-kira 40 meter persegi kawasan hutan telah terjejas,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa operasi terpaksa ditangguhkan sekitar 6.20 petang atas faktor keselamatan ekoran cuaca semakin gelap dan risiko semakin tinggi.
“Walaupun kebakaran masih berlaku, pemeriksaan mendapati tiada ancaman api akan merebak ke kawasan hutan berhampiran,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan, pasukan penyelamat berdepan cabaran tambahan sepanjang operasi antaranya berdepan dengan risiko serangan serangga berbisa serta kehadiran ular di kawasan tapak pelupusan yang luas tersebut.
Oleh Earl Anek