Kebakaran tapak pelupusan sampah Marudi: 0.4 hektar masih belum dipadam

Facebook
WhatsApp
KEBAKARAN di Tapak Pelupusan Sampah Marudi. Foto BBP Marudi

MARUDI: Memasuki hari ketiga operasi, sebanyak 0.4 hektar daripada keseluruhan 0.7 hektar kawasan kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Marudi masih belum berjaya dipadamkan sepenuhnya setakat petang tadi.

Kebakaran yang dilaporkan berlaku sejak 23 Ogos lalu itu kini dikendalikan sepenuhnya oleh kontraktor yang dilantik dan dibayar oleh Majlis Daerah Marudi.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, pemantauan pada 10.00 pagi mendapati kerja pemadaman sedang dijalankan oleh pihak kontraktor dengan bantuan sebuah jengkaut.

“Pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran air, tiga bahagian hos serta satu pam yang mendapatkan sumber air daripada pili bomba berhampiran.

“Pasukan Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi bagaimanapun tidak menjalankan operasi pemadaman secara langsung, sebaliknya hanya melakukan pemantauan di lokasi kejadian.

“Pada pemantauan 5.10 petang, seramai enam pekerja kontraktor yang dilantik Majlis Daerah Marudi didapati masih giat menjalankan kerja pemadaman di kawasan berkenaan,” katanya dalam satu laporan petang tadi.

ANGGOTA BBP Marudi memantau operasi pemadaman yang dijalankan kontraktor di Tapak Pelupusan Sampah Marudi, petang tadi. Foto BBP Marudi

Mengulas lanjut, tinjauan mendapati kawasan rata yang terbakar telah dipadamkan sepenuhnya dan tidak lagi mengeluarkan asap, manakala asap putih masih kelihatan di beberapa kawasan curam.

Anggota bomba turut memberikan panduan kepada pekerja kontraktor mengenai kaedah pemadaman kebakaran sampah yang betul dan berkesan.

“Pihak kontraktor memaklumkan kerja pemadaman akan diteruskan sehingga selesai dan akan disambung pada hari berikutnya sekiranya kebakaran tidak dapat dipadamkan sepenuhnya hari ini.

“Daripada keseluruhan 0.7 hektar kawasan yang terbakar, sebanyak 0.3 hektar telah berjaya dipadamkan, manakala baki 0.4 hektar masih dalam proses pemadaman.

“Antara cabaran yang dihadapi di lokasi ialah tekanan air yang rendah daripada pili bomba berhampiran,” ujarnya.

Operasi pemadaman kini diserahkan sepenuhnya kepada kontraktor yang dilantik Majlis Daerah Marudi, termasuk tindakan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini di tapak berkenaan.