

TATAU: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) maut rentung manakala 30 rumah setinggan musnah sepenuhnya dalam satu kebakaran besar di Seberang Pekan Sangan, di sini, lewat malam tadi.
Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 11.18 malam.
“Kebakaran melibatkan sebanyak 31 rumah setinggan berstruktur tidak kekal berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Sangan Iban, dengan 30 rumah terbakar 100 peratus manakala sebuah rumah berjaya diselamatkan.
“Lokasi kejadian berada di seberang sungai dan tidak mempunyai akses jalan raya, menyebabkan pasukan bomba terpaksa memindahkan peralatan pemadaman menggunakan perahu penduduk kampung untuk menyeberang ke lokasi,” katanya dalam satu kenyataan.


Operasi pemadaman seterusnya dijalankan dengan membentangkan satu aliran sepanjang 400 kaki, menggunakan satu pemecah bahagian
dan dua nozel daripada pam angkut GP10/10 dengan sumber air terbuka dari sungai berhampiran.
“Kebakaran berjaya dikawal daripada terus merebak dan dipadam sepenuhnya, sekali gus menyelamatkan sebuah rumah serta bangunan sekolah yang berada berdekatan,” katanya.
Dalam kejadian itu, seorang mangsa dikenal pasti sebagai Geruna Enchana, 22, ditemui rentung di lokasi kebakaran pada 2.36 pagi dan mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Seramai 23 keluarga melibatkan 97 orang terjejas akibat kebakaran tersebut, namun kesemua mangsa lain dilaporkan selamat.
Oleh Carolyne Utih