SARIKEI: Kebakaran melibatkan timbunan sampah berlaku di tapak pelupusan sampah di Jalan Selalang, awal pagi semalam.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Arrahman Chik, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 1.18 pagi.
“Susulan panggilan tersebut, sepasukan anggota bomba yang diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Dingat Ngadi, digerakkan ke lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi.
Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati kebakaran sedang berlaku melibatkan longgokan sampah.
“Kerja-kerja pemadaman dilakukan menggunakan dua gulung hos serta sumber air dari tangki jentera bomba,” jelasnya.
Tambah beliau, anggaran keluasan kawasan terjejas adalah sekitar 30 meter persegi.
“Operasi pemadaman bermula pada 1.51 pagi dan berjaya ditamatkan sepenuhnya, 5.10 pagi,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek