
SARIKEI: Insiden kebakaran rumah sewa di tingkat empat bangunan kedai di belakang salah sebuah bank, Jalan Repok mengorbankan nyawa seorang wanita, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Priscilla Ida Francis, 31.
“Panggilan kecemasan berhubung kebakaran diterima pada 4.51 petang tadi.
“Respons dengan panggilan kecemasan, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Unjah Jangau bergegas ke lokasi.
“Sampai di lokasi, didapati kebakaran melibatkan bilik yang dijadikan rumah sewa di tingkat empat sebuah bangunan kedai telah terbakar 60 peratus,” katanya ketika dihubungi.


Katanya, kebakaran turut melibatkan seorang wanita yang telah dijumpai tidak sedarkan diri di dalam bilik air bilik tersebut.
“Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi.
“Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 7.00 malam untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Tambahnya, pasukan bomba bertindak menjalankan operasi pemadaman menggunakan tiga aliran 300 kaki tiga pancutan pam jentera dan sumber air dari pili bomba berdekatan untuk mengawal dan memadamkan kebakaran.
“Operasi pemadaman kebakaran selesai sepenuhnya pada 7.55 malam,” katanya.
Oleh Earl Anek