

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menjalankan kerja-kerja pemadaman serta penyelenggaraan menyeluruh kebakaran sebuah rumah dua tingkat di Taman Seng Goon, Jalan Datuk Tawi Sli, petang tadi. Kebakaran berjaya dikawal daripada merebak dan tiada mangsa dilaporkan. Foto JBPM
KUCHING: Sebuah rumah dua tingkat di Taman Seng Goon, Jalan Datuk Tawi Sli di sini terbakar petang tadi, namun berjaya dikawal daripada merebak ke seluruh struktur oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Sarawak, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 3.52 petang sebelum jentera tiba di lokasi pada 3.56 petang, kira-kira empat kilometer dari balai.
Kebakaran melibatkan sebuah rumah struktur kekal dua tingkat yang berlaku di bilik tidur tingkat atas, dengan anggaran kemusnahan sekitar 30 peratus dan keluasan bilik dianggarkan 10 x 20 kaki persegi.
Bagaimanapun, tindakan pantas pasukan bomba berjaya mengawal api daripada merebak, walaupun kejadian mengakibatkan kerosakan asap di tingkat bawah dan atas rumah berkenaan.
Operasi pemadaman diketuai PBK I Chaplin Wan dengan bantuan 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang serta BBP Tabuan Jaya.
Pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki, satu nozel dan sumber air daripada pam jentera. Kerja-kerja overhaul turut dilaksanakan bagi memastikan tiada lagi punca nyalaan di lokasi.
Operasi berjaya dikawal sepenuhnya pada 4.05 petang dan ditamatkan pada 4.40 petang. Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.
Punca kebakaran serta anggaran nilai kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.