SEBUYAU: Kebakaran membabitkan sebuah rumah tidak kekal di Kampung Giat Mara, Sebuyau, di sini, pagi tadi berjaya dipadamkan sendiri oleh penghuni menggunakan air paip sebelum ketibaan pasukan bomba.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada 7.19 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan tiba di lokasi pada 8.20 pagi.
Katanya, kebakaran melibatkan kira-kira 20 peratus ruang tamu rumah berkenaan yang berkeluasan 30×40 kaki persegi.
“Tiada mangsa terlibat dalam kejadian ini dan kebakaran telah berjaya dipadam sepenuhnya oleh penghuni menggunakan air paip sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Pasukan hanya menjalankan pemantauan keselamatan serta mendapatkan maklumat berkaitan kejadian sebelum beredar selepas keadaan disahkan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada 8.26 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 8.45 pagi.
Operasi melibatkan enam anggota BBP Simunjan dengan sebuah jentera LFRT dan sebuah kenderaan utiliti.
Oleh Shikin Mahmud





