

SIBU: Sebuah rumah kediaman tidak kekal musnah sepenuhnya dalam kebakaran yang berlaku di kawasan Rumah Pinggan, Sungai Salim di sini, semalam.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu, Andy Alie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 11.01 malam sebelum menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral dengan bantuan BBP Sibu Jaya ke lokasi.
“Setibanya pasukan di lokasi, didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah tidak kekal yang terbakar 100 peratus dengan anggaran keluasan 60 kaki x 80 kaki, manakala sebuah lagi rumah berhampiran turut terjejas kira-kira tiga peratus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kebakaran tersebut berlaku kira-kira 200 kaki dari kawasan Rumah Pinggan dan 300 kaki dari Rumah Grace Itun.
Komander operasi segera melakukan penilaian awal dan mengarahkan anggota bomba menjalankan kerja-kerja pemadaman sehingga api berjaya dikawal sepenuhnya.
“Operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada 1.13 pagi. Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini,” katanya.
Oleh Tarani Lanting