

PASUKAN BOMBA menjalankan operasi mengawal dan memadam kebakaran rumah di Lorong 4, Jalan Sukun, pagi tadi.
SIBU: Sebuah rumah musnah sepenuhnya manakala empat lagi terjejas dalam kebakaran di Lorong 4, Jalan Sukun, pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, dua rumah mengalami kerosakan sekitar 10 peratus di bahagian tempat letak kereta, manakala dua lagi terbakar sekitar 5 peratus di bahagian sama.
Empat kenderaan termasuk sebuah motosikal telah terbakar 100 peratus.
Seramai 18 anggota bersama tiga jentera, termasuk Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral serta BBP Sungai Merah (balai bantuan), dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada 7.15 pagi.
“Kebakaran tidak melibatkan mangsa. Operasi ditamatkan pada 8.40 pagi,” katanya.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu, Andy Alie turut hadir di lokasi. Turut membantu, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan SESCO.
Oleh Akun Giman