MIRI: Sebuah rumah musnah sepenuhnya dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku awal pagi tadi di Kampung Haji Wahed, di sini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan bahawa tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden tersebut.
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.15 pagi.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah yang dibina daripada struktur tidak kekal dan telah terbakar 100 peratus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pasukan bomba segera melancarkan operasi pemadaman menggunakan satu aliran hos sepanjang 200 kaki dan dua nozel daripada pam jentera sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya.
Operasi tersebut dijalankan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng dengan bantuan pasukan dari BBP Sentral Miri.
Oleh Liong Chai Ling