
SERIAN: Sebuah kereta jenis Proton Saga Aeroback musnah terbakar sepenuhnya dalam kejadian di Batu 29, Jalan Kuching–Serian, pagi tadi.
Komander Operasi, PBK I Rosnani Malong berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sarawak menerima panggilan kecemasan pada 10.37 pagi berhubung insiden tersebut.
“Sebuah jentera FRT dan unit EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian, dengan lapan anggota, segera digerakkan ke lokasi sejauh 16 kilometer,” jelas beliau dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa pasukan bomba tiba pada 10.54 pagi dan mendapati kenderaan tersebut sudah terbakar sepenuhnya.
Anggota bomba kemudian bertindak dengan segera memadamkan kebakaran menggunakan satu aliran salur bantuan dan pam air daripada jentera.
“Kebakaran tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan.
“Operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada 11.03 pagi setelah pasukan mengesahkan keadaan benar-benar selamat dan tiada risiko kebakaran berulang,” jelasnya.
Oleh Masrin Affirah