
BINTULU: Satu insiden kebakaran memusnahkan sepenuhnya ruangan penyimpanan ranting kayu di kilang Taman Perindustrian Samalaju, di sini, tengah hari tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.37 tengah hari.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati kebakaran melibatkan ruangan penyimpanan kayu berkeluasan 165×165 kaki persegi yang terbakar 100 peratus.
“Bagaimanapun, tiada berlaku sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dalam kebakaran tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki dan dua nozel dari pam jentera dengan sumber air diperoleh daripada pili bomba berhampiran.
Punca kejadian masih dalam siasatan.
Oleh Carolyne Utih