

BATU NIAH: Enam unit rumah pekerja separuh kayu di Ladang Niamas 2, Ulu Niah, musnah sepenuhnya dalam kebakaran pagi tadi.
Menurut laporan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah, panggilan kecemasan diterima pada 9.49 pagi, dan sepasukan anggota diketuai oleh PBK I Jeffery Majin bergegas ke lokasi menggunakan jentera Toyota Hilux dan tiba di lokasi pada 10.34 pagi, dengan jarak perjalanan sejauh 44 kilometer.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah, Pegawai Bomba Tinggi (PBT II) Rary Binjie berkata, setiba di tempat kejadian, pasukan mendapati enam rumah separuh kayu berkeluasan sekitar 30 x 100 kaki persegi telah terbakar 100 peratus.
“Tiada kehilangan nyawa dilaporkan, namun seorang penghuni dilaporkan cedera ringan dan telah mendapatkan rawatan di Klinik Batu Niah.
“Siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai bermula dari dapur salah satu bilik (Bilik No.3) sebelum merebak ke unit lain.
“Penghuni dan pekerja ladang cuba memadamkan api menggunakan 13 alat pemadam api dan 10 tong pasir, namun gagal mengawal kebakaran tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Operasi pemadaman bermula pada 10.35 pagi dan berjaya dikawal sepenuhnya sebelum ditamatkan pada 11.59 pagi.
Turut membantu dalam operasi ialah dua anggota Polis Bantuan serta 10 pekerja ladang.
Kebakaran ini sedang disiasat bagi menentukan punca sebenar kejadian serta anggaran kerugian keseluruhan, jelasnya lagi.
Oleh Adum Liu