

DERETAN gerai buah-buahan di Batu 9, Jalan Kuching-Serian musnah hampir 100 peratus.
KUCHING: Deretan gerai buah-buahan di Batu 9, Jalan Kuching-Serian musnah hampir 100 peratus dalam kebakaran awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 6.22 pagi.


ANGGOTA bomba melakukan pemeriksaan selepas berjaya memadam kebakaran.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Sentosa bersama sebuah jentera telah digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira enam kilometer dari balai, sebelum tiba enam minit kemudian.
Bantuan turut diterima daripada BBP Batu Lintang dan BBP Siburan.
“Komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan hampir keseluruhan deretan gerai buah-buahan,” ujarnya menerusi kenyataan, hari ini.
Katanya, tiada mangsa dilaporkan terlibat dan operasi pemadaman masih dijalankan setakat ini.