
KUCHING: Operasi pemadaman kebakaran di kawasan kilang tayar terpakai di Batu 9 masih diteruskan selepas api yang sebelum ini berjaya dikawal, kembali marak pada awal pagi tadi.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, komander operasi melaporkan api kembali menyala sekitar 5.45 pagi, menyebabkan pasukan bomba meneruskan kerja pemadaman dan kawalan di lokasi kejadian.
Setakat 10.07 malam Khamis, kebakaran dilaporkan berjaya dipadamkan kira-kira 60 peratus, namun masih berbaki api di bahagian belakang kilang.


KEADAAN kilang tayar terpakai di Batu 9 selepas kebakaran berjaya dikawal.
Sebelum ini, kebakaran besar yang berlaku malam Rabu mengakibatkan sebuah kilang tayar terpakai musnah sepenuhnya, manakala sebuah kilang kitar semula plastik terbakar 60 peratus. Tiada mangsa dilaporkan dalam insiden tersebut.
Operasi diketuai oleh TPgB II Christian Olas dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan, dengan bantuan anggota dari BBP Kota Sentosa, BBP Siburan dan BBP Tabuan Jaya.
Pihak bomba turut memaklumkan bahawa usaha pemadaman kini memberi tumpuan kepada kawasan longgokan tayar dan struktur bangunan yang masih mengeluarkan api.
Oleh Amanda L