MARAK… Api kelihatan marak ketika kebakaran hutan berhampiran Belin-Beliet di Gironde, barat daya Perancis.
• Foto AFP
LANDIRAS: Kebakaran liar yang disangka pegawai terkawal di barat daya Perancis kembali ‘menyerang’ mungkin disebabkan pembakaran, kata pegawai pada Rabu lalu.
Lebih 6,200 hektar (kira-kira 15,000 ekar) hutan kering terbakar hanya dalam masa 24 jam dalam kebakaran Landiras, yang terbesar dalam kebakaran di wilayah itu pada bulan lalu, menyebabkan 10,000 orang dipindahkan sejak petang Selasa lalu.
Kebakaran telah dikawal, tetapi tidak dipadamkan sepenuhnya selepas membakar hampir 14,000 hektar, sebelum terbakar semula pada Selasa lalu.
Kerajaan berkata, Perdana Menteri Elisabeth Borne dan Menteri Dalam Negeri, Gerald Darmanin bersama barisan hadapan dalam usaha memadam kebakaran di wilayah barat daya Perancis, Gironde mulai semalam.
Berikutan kebakaran itu, Darmanin mengumumkan lebih banyak sumber termasuk lebih 1,000 anggota bomba, sembilan pesawat dan dua helikopter yang dilengkapi untuk menurunkan air.
Bagaimanapun, tiada laporan kecederaan diterima, tetapi 16 rumah musnah atau rosak berhampiran Perkampungan Belin-Beliet dan pegawai berkata, enam jentera bomba musnah terbakar.
“Risiko sangat tinggi bahawa keadaan kering akan membolehkan api merebak lebih jauh.
“Cuaca sangat tidak mengizinkan kerana panas, udara kering, rekod kemarau dan fakta bahawa terdapat banyak gambut di dalam tanah… api tidak padam pada Julai lalu, ia masuk ke bawah tanah,” kata Martin Guespereau, Pengawas Jabatan Gironde.
Darmanin berkata, penyiasat mengesyaki mungkin aktiviti pembakaran mungkin terlibat.
“Terdapat lapan kebakaran yang meletus antara 8.00 dan 9.00 pagi yang meletus pada selang beberapa ratus meter, yang sangat luar biasa,” katanya di Mostuejouls, utara bandar Mediterranean Montpellier yang mana satu lagi kebakaran sedang marak di Taman Semula Jadi Grands Causses.
Beliau juga memberitahu pemberita bahawa, Sweden dan Itali akan menghantar pesawat pemadam kebakaran ke Perancis dalam tempoh 24 jam untuk membantu.
‘Langit bergemuruh’
“Ia adalah kebakaran besar… lebih hebat dan bergerak pantas berbanding ketika kebakaran Landiras memuncak bulan lalu,” ujar Marc Vermeulen daripada pihak berkuasa yang terlibat memadam kebakaran wilayah itu.
“Saya membuka pintu malam tadi dan terdapat dinding merah di hadapan kami, langit bergelora seperti lautan,” kata Eliane, 43 tahun di pusat perlindungan sementara untuk mangsa yang dipindahkan di Belin-Beliet.
Bagi Christian Fostitchenko, 61, dan pasangannya Monique, menunggu di pusat seni mempertahankan diri Dojo di Salles berdekatan dan ia adalah pemindahan kedua mereka pada musim panas dari rumah mereka di Saint-Magne.
“Kali ini kami benar-benar takut… api tidak sampai 100 meter (328 kaki) dari rumah,” katanya.
Api merebak ke arah Lebuh raya A63, jalan utama yang menghubungkan Bordeaux ke Sepanyol dengan asap tebal memaksa penutupan jalan antara Bordeaux dan Bayonne.
Perancis dilanda musim panas ini dengan rekod kemarau yang memaksa sekatan penggunaan air di seluruh negara dan beberapa siri gelombang panas yang didorong oleh perubahan iklim.
Kebakaran hutan juga berlaku di bukit kering di tenggara dan juga di kawasan Brittany yang biasanya subur di sepanjang pantai.
Pada Rabu lalu, pegawai di barat Perancis berkata, kebakaran hutan berhampiran Angers dan Le Mans membakar 1,200 hektar sejak Isnin ketika hampir 400 anggota bomba berusaha untuk mengawalnya. -AFP