
SARATOK: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) terpaksa bertarung selama hampir lapan jam bagi mengawal kebakaran kebun yang dilaporkan merebak di kawasan Simpang 4 Skim C, Kampung Kupang, semalam.
Pegawai APM Daerah Saratok, Leftenan (PA) Nur Athirah Batu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 8.58 pagi sebelum menggerakkan enam anggota ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 55 kilometer dari Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD).

Setibanya di lokasi pada 10.34 pagi, pasukan penyelamat mendapati kebakaran melibatkan kawasan tanah gambut dan belukar yang telah merebak pantas ke kawasan hutan berhampiran ekoran faktor cuaca dan angin kencang.
Menurut kronologi kes, kebakaran tersebut dipercayai bermula dari kawasan kebun sebelum api marak dengan luar biasa sehingga mengancam beberapa buah kebun penduduk kampung yang lain di sekitar kawasan terbabit.
Operasi pemadaman dilakukan secara bersepadu melibatkan enam anggota APM dan tiga anggota Bomba Saratok, selain turut dibantu oleh penduduk kampung yang berusaha menyekat kemaraan api menggunakan peralatan memadam kebakaran milik pihak bomba.

Leftenan Nur Athirah menjelaskan bahawa faktor angin kuat menjadi cabaran utama dalam operasi berkenaan kerana ia menyebabkan api kembali marak di beberapa titik panas walaupun usaha pemadaman giat dijalankan sejak awal pagi.
Memandangkan keadaan kawasan yang luas dan faktor muka bumi tanah gambut yang menyimpan haba, operasi pemadaman terpaksa dilakukan dengan penuh berhati-hati bagi memastikan keselamatan anggota serta orang awam yang berada di lokasi.
Menjelang 5.00 petang, pihak bomba memutuskan untuk menamatkan operasi buat sementara waktu atas faktor keselamatan dan keadaan cuaca, manakala operasi pemantauan lanjut dijadualkan bersambung pada hari berikutnya.
Sepanjang pengoperasian tersebut, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan berlaku, dan anggota APM memastikan keadaan di lokasi benar-benar terkawal sebelum bergerak balik ke pangkalan pada 5.40 petang.
Pihak berkuasa menasihatkan penduduk setempat agar sentiasa berwaspada dan mengelakkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka, terutamanya di kawasan tanah gambut yang mudah terbakar bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.
Oleh Adi Safarman