BINTANGOR: Sejumlah 436 permohonan diterima oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak sejak 2020 untuk membantu membina semula rumah panjang dan rumah individu yang musnah akibat kebakaran dari seluruh Sarawak.
Pengerusinya yang juga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, permohonan bernilai RM130,831,500 adalah untuk membina sejumlah 2,041 unit rumah.
“Daripada permohonan ini, sebanyak 131 projek terdiri daripada 675 unit dan menelan belanja RM43.642 juta telah berjaya dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat Rumah Edmund Labang Jawa di Sungai Tulai, petang semalam.
Terdahulu, Rumah Edmund Labang Jawa musnah dalam kebakaran pada 26 Julai 2017.
Kini, rumah panjang dibina semula dan hampir sedia untuk diduduki, ia terdiri daripada dua baris berasingan 17 unit setiap satu.
Dalam pada itu, Uggah berkata, sebanyak 101 projek berjumlah 683 unit rumah dan menelan belanja RM45.770 juta sedang dalam proses pembinaan.
“Kemudian kita mempunyai 204 lagi permohonan baharu yang terdiri daripada 683 unit dan berharga RM41.419 juta.
“Bagi Bahagian Sarikei, kami mempunyai tujuh projek untuk 40 unit berharga RM2.940 juta yang kini selesai.
“Ia termasuk tiga rumah panjang iaitu Rumah Paun Balin, Rumah Edmund Labang Jawa dan Rumah Jelum Mandaw dan empat rumah individu,” ujarnya.
Katanya, selain itu, terdapat empat projek untuk 43 unit dianggarkan menelan belanja RM3.010 juta kini dilaksanakan.
“Ini terdiri daripada tiga rumah panjang iaitu Rumah Andrew Lawai, Rumah Sally Maling (Merurun, Julau) dan Rumah Chat (Nanga Bilat,Julau) dan sebuah rumah individu.
“JPBN juga telah menerima empat permohonan lain untuk 42 unit rumah, kos kira-kira RM2.035 juta,” katanya lagi.
Tambahnya lagi, kerajaan Sarawak akan terus menjaga kebajikan rakyatnya sama ada mereka tinggal di kawasan bandar atau luar bandar.
“Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah merangka dasar ini untuk membantu mangsa kebakaran selepas 2018.
“Sebagai kerajaan yang prihatin, kita juga mempunyai program sosioekonomi dan kebajikan untuk memenuhi keperluan rakyat,” katanya.
Semasa lawatan ke Rumah Edmund Labang Jawa, Uggah turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM30,000 dari Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) untuk menaik taraf gereja rumah panjang.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing.
Oleh EARL ANEK