JAKARTA: Kebakaran hutan di Gunung Bromo, Indonesia merebak meliputi kira-kira 10 hektar sehingga memaksa sebahagian kawasan di destinasi pelancongan popular itu ditutup, ketika anggota bomba giat mengawal kebakaran berkenaan.
Ketua Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Probolinggo Oemar Sjarief berkata kebakaran itu masih aktif pada Rabu, dengan pasukan kecemasan berusaha memadamkan beberapa titik panas dalam keadaan mencabar bagi menghalangnya daripada terus merebak.
“Berdasarkan laporan anggota di lapangan, titik panas masih belum dipadamkan sepenuhnya, justeru operasi pemadaman diteruskan di beberapa lokasi,” kata beliau pada Rabu, menurut Agensi Berita Antara.
Kebakaran itu tercetus pada Isnin di Taman Nasional Bromo Tengger Semeru dan dipercayai berpunca daripada unggun api yang ditinggalkan pendaki, menurut pihak berkuasa tempatan, namun punca sebenar masih dalam siasatan.
Dalam kejadian berasingan, kebakaran hutan di kawasan hutan simpan Gunung Soputan, Sulawesi Utara dianggarkan merebak meliputi 300 hektar pada Isnin selepas tercetus sehari sebelumnya, menyebabkan pihak berkuasa memperhebat usaha mengawal kebakaran itu.
Ketua Bahagian Kecemasan dan Logistik BPBD Minahasa Tenggara Julex Wanga berkata angin kencang menyebabkan kebakaran semakin marak, mencetuskan titik panas baharu serta menyukarkan operasi pemadaman di kawasan berbukit dan sukar dilalui.
Beliau berkata punca kebakaran itu masih belum dikenal pasti. – Bernama




