BETONG: Kebakaran hutan gambut di Jalan Bungin, Serembang, yang memasuki hari keempat kini melibatkan keluasan keseluruhan sekitar 35 hektar, dengan 27 hektar berjaya dipadam setakat hari ini.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), operasi pemadaman diteruskan hari ini selepas pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong bergerak ke lokasi pada 8.20 pagi dan tiba sekitar 9.15 pagi.
Pasukan bomba membahagikan kawasan operasi kepada empat sektor bagi menjalankan kerja-kerja pemadaman menggunakan pam sumber air dari parit serta jentera FRT bagi membekalkan air ke kawasan terbakar.
“Selain pemadaman, dua pasukan Kobelco turut menjalankan kerja-kerja pembinaan fire break, pembersihan kawasan dan mencari sumber air di beberapa sektor.
“Bagaimanapun, kebakaran baharu dikesan di Sektor E dan F membabitkan anggaran keluasan dua hektar.

“Secara keseluruhan, sekitar lapan hektar masih belum dipadam dan operasi diteruskan sehingga arahan operasi ditangguhkan,” katanya dalam laporan hari ini.
JPBM memaklumkan antara cabaran di lokasi ialah laluan yang sempit dan sukar dilalui, ketiadaan sumber air di kawasan terbakar serta liputan rangkaian telefon yang kurang memuaskan.
Operasi turut disokong sebuah jentera FRT, sebuah water tanker, sebuah Hilux dan sebuah Van Urvan.

Komander Operasi ialah PBK I Yusuf Tamin, manakala pegawai kanan di lokasi ialah Ketua BBP Betong, PPgB Muhammad Badrulamin Mohamad Fodzi dan PBKI Abg Muhd Fhazil Abg Abdul Manaf.
Operasi melibatkan 12 anggota BBP Betong bersama lima anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan 15 anggota Jabatan Sukarelawan (RELA).





