
LIMBANG: Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran hutan di kawasan Kampung Bakol, di sini, semalam, selepas usaha keras selama tiga jam memadam api yang merebak hingga ke kawasan bukit berkenaan.
Ketua Bomba Zon Tujuh Limbang Ramlan Marajan berkata sepasukan anggotanya dikerah ke lokasi yang jauhnya 15 kilometer dari balai untuk operasi pemadaman kebakaran hutan sebaik menerima panggilan kecemasan sekitar 12.34 petang.
“Setiba pasukan keluaran di lokasi, kebakaran melibatkan hutan belukar berkeluasan dalam anggaran tiga ekar dan kebakaran telah merebak dan aktif sehingga ke kawasan bukit,”katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, pasukan keluaran operasi bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan satu aliran sepanjang 800 kaki (243 meter), dua nozel dan 200 kaki (60 meter) pam pili bomba.
Operasi terkawal pada 2.10 petang dan selesai selepas pemadaman dilakukan serta memastikan tiada lagi unsur kebakaran.
Oleh Adeng Edrus