



SEBUAH helikopter Sikorsky S-64 Skycrane menjatuhkan air ke atas kebakaran hutan ketika anggota bomba berusaha memadamkan api di Palaia Fokaia, kira-kira 45 kilometer di selatan Athens, semalam. Foto AFP
ATHENS: Kebakaran hutan besar tercetus di tenggara Athens dan kini merebak tanpa kawalan, diburukkan lagi oleh angin kencang, menurut perkhidmatan bomba tempatan pada Jumaat, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Penduduk di beberapa kampung telah dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga, manakala pihak berkuasa perlindungan awam mengisytiharkan tahap bahaya kebakaran tertinggi di kebanyakan kawasan Aegean.
Kebakaran yang tercetus pada petang Jumaat atas sebab yang masih belum diketahui itu terletak kira-kira 35 kilometer di tenggara ibu negara Greece.
Pihak berkuasa berkata tiga pesawat pengebom air dan lima helikopter sedang memadamkan api dari udara, manakala anggota bomba dari kawasan lain dikerah untuk membantu pasukan tempatan.
Sokongan tambahan sedang dalam perjalanan, lapor penyiar negara ERT. Kemudahan pelancongan di kawasan berkenaan ketika ini tidak berisiko, menurut wartawan di lokasi kejadian.
Perkhidmatan meteorologi Athens telah memberi amaran mengenai angin kencang di seluruh Aegean. Ramalan cuaca menjangkakan angin kuat akan terus menyukarkan usaha memadamkan kebakaran dalam beberapa hari akan datang.
Pakar meteorologi turut memberi amaran bahawa berikutan kemarau berterusan, percikan kecil api sekalipun boleh mencetuskan kebakaran besar dalam masa beberapa minit.– Bernama-dpa