Kebakaran hutan 100 Hektar di Kejatau-Lingga, operasi pemadaman bersambung esok

Facebook
WhatsApp
KEBAKARAN hutan membabitkan kawasan seluas kira-kira 100 hektar di Jalan Kejatau-Lingga, Sri Aman, memaksa operasi pemadaman diteruskan ke hari berikutnya selepas usaha pada hari pertama berjaya mengawal kebakaran di kawasan seluas 20 hektar. Foto: PGO Bomba

SIMANGGANG: Kebakaran hutan membabitkan kawasan seluas sekitar 100 hektar di Jalan Kejatau-Lingga, Sri Aman, memaksa operasi pemadaman diteruskan ke hari berikutnya selepas usaha pada hari pertama berjaya mengawal kebakaran di kawasan seluas 20 hektar.

Menurut kenyataan media Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 1.19 petang semalam.

Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman tiba di lokasi sekitar 16 minit kemudian, iaitu pada 1.35 petang, sebelum operasi pemadaman dimulakan.

KEBAKARAN HUTAN… Asap kelihatan memenuhi kawasan hutan yang terbakar di Jalan Kejatau-Lingga, Sri Aman, yang membabitkan kira-kira 100 hektar kawasan.

Operasi melibatkan tujuh anggota dengan sokongan sebuah jentera FRT, van, dua kenderaan Hilux dan sebuah tangki air.

Bagi sektor pertama, pasukan bomba membentangkan satu aliran 300 kaki dengan cabang pembahagi serta dua aliran hos serangan sepanjang 200 kaki yang menggunakan sumber air terbuka dari parit.

Operasi turut mendapat bantuan lori tangki daripada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dan tangki air dari BBP Betong bagi menyalurkan bekalan air ke jentera bomba.

Sementara itu, sektor kedua menggunakan satu aliran hos sepanjang 200 kaki dengan pam hutan dan satu nozel, selain mendapat bantuan pam daripada pihak ladang sawit berhampiran.

USAHA PEMADAMAN… Anggota bomba menggunakan hos air bagi memadam kebakaran hutan di Jalan Kejatau-Lingga, Sri Aman.

Pasukan bomba turut melaksanakan kerja-kerja membina jalur pemisah api (fire break) bagi menghalang kebakaran daripada terus merebak, dengan bantuan sebuah jengkaut daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sri Aman.

Bagaimanapun, operasi berdepan beberapa kekangan termasuk tiada liputan komunikasi, angin kencang yang menyebabkan api cepat merebak, kekurangan sumber air terbuka serta laluan jalan yang sempit.

Sehingga operasi ditangguhkan pada 7.50 malam, sekitar 20 hektar kawasan berjaya dipadamkan, manakala baki 80 hektar masih belum dipadam sepenuhnya.

Operasi dihentikan sementara kerana keadaan gelap dan kekurangan sumber air sebelum disambung semula pada hari berikutnya.

Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan, manakala operasi turut dibantu DID Sri Aman dengan sebuah jengkaut, JBALB dengan sebuah lori tangki serta dua anggota IBET.

Oleh Adi Safarman