Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Kebakaran hotel di New Delhi ragut 21 nyawa, termasuk warga asing
  • GLOBAL

Kebakaran hotel di New Delhi ragut 21 nyawa, termasuk warga asing

Utusan Sarawak 7 hours ago
ANGGOTA pasukan forensik memeriksa lokasi kejadian susulan kebakaran yang berlaku di sebuah hotel di New Delhi pada 3 Jun 2026. Foto AFP.

NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 21 maut, termasuk beberapa warga asing, dalam kebakaran yang memusnahkan sebuah hotel di New Delhi pada Rabu, menurut polis dan media tempatan.

Saluran televisyen India menyiarkan rakaman api yang marak dari bangunan berkenaan serta kepulan asap hitam tebal yang memenuhi ruang udara. Beberapa individu yang terperangkap di tingkat atas dilihat terjun ke atas tilam yang dibentangkan di bawah bagi menyelamatkan diri.

Kebakaran bangunan sering berlaku di India akibat kekurangan peralatan pemadaman kebakaran serta kegagalan mematuhi peraturan keselamatan. Punca kebakaran terbaharu itu bagaimanapun masih belum diketahui.

Menurut Polis Delhi, kebakaran berlaku pada waktu pagi di Flourish Stay, sebuah inap sarapan (bed-and-breakfast) yang terletak di kawasan padat penduduk di selatan bandar raya itu.

ANGGOTA Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan (NDRF) dan anggota bomba berada di lokasi kejadian susulan kebakaran yang berlaku di sebuah hotel di New Delhi pada 3 Jun 2026. Foto AFP.

“Dengan penuh dukacita, 21 orang disahkan meninggal dunia dalam insiden tragis ini,” menurut kenyataan polis.

Agensi berita Press Trust of India yang memetik pegawai yang enggan dikenali melaporkan beberapa mangsa yang maut merupakan warga asing, kebanyakannya dari Asia Tengah dan Afrika.

Media tempatan melaporkan ramai daripada mereka berada di bandar raya itu untuk mendapatkan rawatan perubatan.

Kementerian Luar India memaklumkan pihaknya sedang berhubung dengan kedutaan negara yang rakyatnya terlibat dalam tragedi tersebut.

Kementerian itu “terus berhubung rapat dengan kedutaan berkaitan dan sedang menyalurkan segala bantuan yang diperlukan,” kata Timbalan Menteri Luar India, Kirti Vardhan Singh menerusi platform X.

Pihak berkuasa berkata lebih 40 orang dibawa ke hospital untuk menerima rawatan, manakala lapan mangsa dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Satish Upadhyay, seramai 47 tetamu berada di hotel tersebut ketika kebakaran berlaku.

Penduduk setempat segera membantu di lokasi kejadian ketika anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran, manakala ambulans membawa mangsa yang cedera ke hospital.

Perdana Menteri India, Narendra Modi, menyifatkan kejadian itu sebagai satu tragedi.

“Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga yang kehilangan insan tersayang,” menurut kenyataan pejabat beliau.

Terjun dari bangunan

Beberapa laporan mendakwa hotel berkenaan hanya mempunyai satu pintu masuk dan keluar serta tidak dilengkapi sistem pengudaraan yang mencukupi.

“Siasatan akan dijalankan dan sesiapa yang melanggar peraturan serta didapati bertanggungjawab akan ditahan segera,” kata Upadhyay.

Saksi berkata beberapa individu yang terperangkap di tingkat atas terjun ke atas tilam yang dibentangkan di jalan raya di luar bangunan.

“Kami mendapatkan tilam dari sebuah kedai berhampiran kerana mangsa perlu diselamatkan,” kata penduduk tempatan, Mohammad Anees, kepada AFP.

“Selepas tilam dibentangkan, lima wanita terjun dari bangunan itu dan mendarat dengan selamat.”

Kebakaran itu akhirnya berjaya dikawal dengan bantuan lapan jentera bomba, menurut polis.

Punca kebakaran, yang disifatkan sebagai antara insiden kebakaran paling maut di ibu negara India dalam beberapa tahun kebelakangan ini, masih belum dapat dipastikan.

Litar pintas elektrik yang sering berpunca daripada pendawaian yang tidak diselenggara dengan baik kekal menjadi punca utama kebakaran di India.

Pada Mac lalu, kebakaran di sebuah hospital kerajaan di timur India mengorbankan 10 pesakit yang berada dalam keadaan kritikal.

Insiden kebakaran besar terakhir di New Delhi berlaku pada 2019, mengorbankan 43 pekerja kilang yang sedang tidur di sebuah bangunan di kawasan lama bandar raya itu. — AFP

Tags: Global

Continue Reading

Previous: Saintis temui yis dalam usus manusia ais purba, hasilkan ‘sourdough’
Next: Nahas helikopter di barat daya England, tiga anggota tentera laut diraja terkorban

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.