ALGIERS: Kebakaran liar akibat suhu panas dan keadaan kering telah meragut sekurang-kurangnya 42 orang di Algeria, kata pihak berkuasa pada Selasa lalu, sambil menambah bahawa kebakaran itu berpunca daripada kegiatan jenayah.
Sehingga Selasa lalu, jumlah korban akibat kebakaran dahsyat itu ialah 25 tentera dan 17 orang awam.
Foto yang disiarkan di media sosial menunjukkan api marak dan asap tebal di kawasan hutan bukit di Wilayah Kabylie, di timur ibu Kota Algiers.
Algeria bergabung dengan serangkaian negara yang akan dilanda kebakaran besar dalam beberapa minggu terakhir, termasuk Greece, Turki, Cyprus dan Amerika Syarikat barat.
Presiden Abdelmadjid Tebboune mengucapkan takziah di atas kehilangan 25 tentera yang terbunuh ketika berusaha menyelamatkan penduduk di Daerah Bejaiea dan Tizi Ouzou.
“Dengan sangat sedih, saya mengetahui tentang kesyahidan 25 tentera setelah mereka berjaya menyelamatkan sekitar 100 penduduk daripada api di pergunungan Bejaiea dan Tizi Ouzou.
Kementerian Pertahanan mengatakan tindakan tentera telah menyelamatkan 110 orang termasuk lelaki, wanita dan kanak-kanak daripada api marak,” ujarnya.
Pada masa sama, sekitar 14 askar lain cedera pada tahap yang berbeza-beza.
“ Seramai 17 orang awam maut di kawasan Tizi Ouzou dan Setif,” kata Perdana Menteri Aimene Benabderrahmane pada Selasa lewat.
Sebelumnya, agensi berita APS melaporak kebakaran dahsyat itu mengorbankan 13 orang awam.
Radio negeri mengatakan tiga ‘pembakar’ telah ditangkap di daerah utara Medea dan satu lagi di Annaba, berkaitan dengan kebakaran lain.
Lebih daripada 70 kebakaran berlaku di 18 negeri di utara Algeria termasuk 10 di sekitar Tizi Ouzou, salah satu bandar paling ramai penduduk di Kabylie.
Seorang jurugambar AFP di Tizi Ouzou melihat pegawai perubatan membawa mayat orang yang terbunuh dalam kebakaran itu.
Ahli meteorologi mengatakan suhu mencecah 46 darjah Celsius pada Selasa lalu di sebuah negara Afrika Utara yang juga mengalami masalah kekurangan air yang teruk.
Menteri Dalam Negeri, Kamel Beldjoud dalam kunjungan ke Tizi Ouzou, mengatakan kepada televisyen bahawa, “50 kebakaran bermula pada waktu yang sama adalah mustahil. Kebakaran ini tercetus akibat perbuatan jenayah.”
Malah, Direktorat Perlindungan Awam mengatakan 12 pusat bandar utara dilanda kebakaran.
Dalam pada itu, radio awam melaporkan penangkapan tiga orang yang disyaki melakukan pembakaran di Medea.
Bulan lalu, Presiden Tebboune memerintahkan rang undang-undang (RUU) untuk menguatkan hukuman kerana memulakan kebakaran hutan, dengan hukuman penjara hingga 30 tahun dan kemungkinan penjara seumur hidup, jika kebakaran itu mengakibatkan kematian.
Pada Julai lalu, tiga orang ditangkap kerana disyaki memulakan kebakaran yang menghancurkan hutan seluas 15 kilometer persegi di Pergunungan Aures.
Pada 2020, hampir 440 kilometer persegi hutan musnah akibat kebakaran dan beberapa orang ditangkap kerana disyaki terlibat dalam pembakaran.
Pada Isnin lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan laporan besar yang menunjukkan bagaimana ancaman pemanasan global bahkan lebih hebat daripada yang difikirkan sebelumnya?.
Dalam laporan itu, para saintis mengukur sejauh mana pemanasan akibat manusia meningkatkan intensiti dan / atau kemungkinan kejadian cuaca ekstrem tertentu, seperti gelombang panas atau api liar.
Perubahan iklim menguatkan kekeringan, mewujudkan keadaan ideal agar kebakaran liar tidak terkawal dan menimbulkan kerosakan material dan persekitaran yang belum pernah terjadi sebelumnya. AFP