KUCHING: Sebuah rumah di SL-50, Taman Boxhill, Lorong Boxhill Penrissen 1 di sini mengalami kebakaran melibatkan bahagian dapur, petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi Bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 1.16 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Sentosa digerakkan ke lokasi.
Menurut Komander Operasi, PBK II Mohd Azwad Perseh, jentera bomba tiba di lokasi pada 1.21 petang dan mendapati kebakaran membabitkan peralatan elektrik serta perkakasan dapur di bahagian belakang rumah.
“Api telah berjaya dipadamkan oleh pemilik rumah menggunakan hos paip sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Pasukan bomba kemudiannya menjalankan kerja-kerja pemantauan serta ventilasi bagi mengeluarkan asap dari dalam rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut. Operasi dikawal sepenuhnya pada 1.40 petang dan tamat sepenuhnya, 1.56 petang.
Oleh Amanda L.