Kebakaran bukit kapur cetus risiko batu gugur, denai Taman Negara Niah ditutup sementara

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
KEPULAN ASAP… Dua titik kebakaran di Taman Negara Niah yang dikesan oleh dron Tom Chin pada jam 4.00 petang semalam. Foto Tom Chin

NIAH: Denai di Taman Negara Niah ditutup sementara bermula Isnin demi keselamatan pengunjung susulan kebakaran yang berlaku di kawasan bukit kapur berhampiran Kuala Gua Niah.

Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dalam satu kenyataan memaklumkan, pihak pengurusan Taman Negara Niah menerima laporan mengenai kepulan asap tebal kira-kira 9.00 pagi semalam.

Menurut SFC, berdasarkan maklumat awal, kawasan taman mengalami hujan lebat berserta kilat dan petir bermula sekitar 7.00 pagi, dengan kebakaran dipercayai berpunca daripada sambaran kilat.

Pasukan pemantauan yang menjalankan pemeriksaan di lokasi mengesahkan terdapat dua lokasi kebakaran, iaitu di bukit kapur berhampiran Sungai Tangap dan kawasan tepi Traders Cave.

“Hasil pemeriksaan mendapati kebakaran semakin merebak dan turut kedengaran letupan pada struktur batu kapur, sekali gus meningkatkan risiko batu pecah serta gugur ke arah denai menuju Traders Cave dan kawasan sekitar gerai komuniti Tangap,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, SFC mengambil keputusan menutup sementara denai Taman Negara Niah sehingga dimaklumkan kelak sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan orang ramai.

SFC turut memaklumkan semua pelawat yang berada di taman telah dimaklumkan mengenai situasi berkenaan serta diberikan penerangan oleh pihak pengurusan taman.

Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi arahan pihak berkuasa dan tidak memasuki kawasan yang ditutup sehingga notis pembukaan semula dikeluarkan.

SFC akan terus memantau perkembangan keadaan di lokasi dan menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa. Keselamatan pengunjung kekal menjadi keutamaan pihak pengurusan taman.

Oleh Adum Liu