

KUCHING: Satu kebakaran semula berlaku pada longgokan tayar di Batu 9, Lorong Green Wood, di sini, membabitkan timbunan tayar yang terletak di belakang sebuah kilang.
Menurut laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, keluasan terbakar dianggarkan sekitar 30 × 40 kaki persegi.
“Operasi pemadaman dijalankan oleh Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan dengan tujuh anggota, menggunakan satu saluran air dari pili bomba serta bantuan sebuah jentera FRT.
“Pihak bomba turut dibantu oleh jengkaut daripada Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) semasa operasi overhaul.
“Operasi tamat selepas memastikan tiada sumber api tinggal dan asap dikawal sepenuhnya,” katanya dalam satu laporan yang dikeluarkan hari ini.
Mengulas lanjut, operasi yang diketuai Komander Operasi Hussein Tekok itu memasuki hari kedua pemadaman namun tetap tidak melibatkan sebarang mangsa.
“Setelah mempastikan asap benar-benar tidak kelihatan dan tiada lagi sumber api, pasukan bomba berangkat balik ke balai,” ujarnya.
Latar belakang insiden ini bukanlah kebakaran pertama di lokasi yang sama.
Sebelum ini, pada 29 Oktober 2025, timbunan tayar di Batu 9 telah terbakar dan menyebarkan api ke dua kilang berdekatan iaitu satu kilang tayar terpakai dan satu kilang kitar semula plastik.
Menurut pihak MPKS dan Lembaga Sumber Asli & Alam Sekitar (NREB), laman simpanan tayar di lokasi tersebut beroperasi tanpa lesen yang sah.
Siasatan kini telah dibuka bagi menilai kawalan keselamatan dan isu pematuhan undang-undang di tempat terbabit.
Oleh Masrin Affirah