NAIROBI: Seramai 21 kanak-kanak lelaki disahkan maut pada Sabtu, selepas kebakaran memusnahkan asrama sekolah di Endarasha, tengah Kenya.
Pada malam hari sama, satu lagi kebakaran berlaku di sekolah perempuan, juga di tengah negara berkenaan.
Awal Sabtu, pendakwa raya tertinggi negara itu berkata, beliau sudah mengarahkan polis untuk melihat sama ada tragedi di Akademi Endarasha Hillside di daerah Nyeri itu, berpunca daripada kecuaian.
Api menyambar asrama lelaki di sekolah itu, bermula tengah malam Khamis ketika lebih 150 murid berumur antara sembilan dan 13 tahun sedang tidur.
Jurucakap kerajaan Isaac Mwaura berkata, sebanyak 19 mayat ditemukan di lokasi, manakala dua lagi mangsa kejadian meninggal dunia di hospital.
Menurut polis, mayat mangsa yang hangus terbakar sehingga tidak dapat dikenali.
Pasukan kes pembunuhan dan pakar forensik meningkatkan siasatan mereka di sekolah pada Sabtu, dengan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) akan dijalankan untuk mengenal pasti mangsa.
Ketua ahli patologi kerajaan, Johansen Oduor berkata, bedah siasat akan bermula pada Selasa ini.
Sementara itu, satu lagi kebakaran berlaku pada Sabtu malam di Sekolah Menengah Perempuan Isiolo, kira-kira 140 kilometer ke timur laut.
“Terdapat beberapa kecederaan tetapi kami tidak dapat mengesahkan angka tepat buat masa ini,” kata pihak berkuasa.
Presiden William Ruto mengisytiharkan tiga hari berkabung nasional mulai Isnin selepas apa yang disifatkannya sebagai “tragedi yang tidak dapat diduga”. – AFP
Gambar
Foto dirakam dari udara menunjukkan blok asrama yang terbakar di Akademi Endarasha Hillside. – Foto AFP