Kebakaran belukar seluas 0.8 hektar di Taman Harmoni berjaya dipadam

Facebook
WhatsApp
KEBAKARAN belukar yang dianggarkan melibatkan kawasan seluas kira-kira 0.8 hektar di Taman Harmoni berjaya dipadam sepenuhnya oleh pasukan bomba hari ini. Foto BBP Sri Aman

SIMANGGANG: Kebakaran belukar yang dianggarkan melibatkan kawasan seluas kira-kira 0.8 hektar di Taman Harmoni berjaya dipadam sepenuhnya oleh pasukan bomba hari ini.

Menurut kenyataan media Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 12.35 tengah hari sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira tiga kilometer dari balai.

Setibanya di lokasi, Ketua Operasi, PBK I Mohamad Fadhli Buyong mengesahkan berlaku kebakaran belukar yang melibatkan kawasan agak luas.

ANGGOTA bomba menjalankan operasi pemadaman bagi mengawal kebakaran belukar di Taman Harmoni, Simanggang, hari ini. Foto BBP Sri Aman

Pasukan bomba dengan kelengkapan perlindungan diri (PPE) lengkap segera menjalankan operasi pemadaman menggunakan aliran salur air bagi mengawal api daripada terus merebak.

Dua aliran salur digunakan, masing-masing sepanjang 300 kaki dan 200 kaki, dengan satu nozel bagi setiap aliran untuk melakukan pemadaman di kawasan yang terbakar.

Hasil tindakan pantas dan tersusun anggota bomba, api berjaya dipadamkan sepenuhnya.

Operasi kemudiannya ditamatkan selepas keadaan di lokasi didapati selamat dan terkawal, sebelum pasukan bertolak pulang ke balai.

Operasi melibatkan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) bersama tiga anggota serta sebuah jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dengan seorang anggota.

Bagaimanapun, pasukan bomba berdepan sedikit cabaran apabila sumber air terbuka didapati berada jauh dari lokasi kejadian.

Tiada agensi lain dilaporkan terlibat dan tiada pegawai kanan hadir di lokasi.

Pihak bomba turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika melakukan aktiviti yang boleh mencetuskan kebakaran, khususnya di kawasan belukar dan tanah terbuka.

Oleh Adi Safarman