
TATAU: Kebakaran belukar di Kuala Tatau Serupai di sini dilaporkan terus merebak sehingga melibatkan keluasan sekitar lapan hektar setakat hari keempat operasi pemadaman.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, operasi pemadaman disambung semula seawal pagi dengan memberi tumpuan kepada kebakaran tanah gambut yang didapati semakin merebak.
“Anggota membuat pemantauan awal sebelum memulakan operasi pemadaman dan mendapati kebakaran kini melibatkan kira-kira lima hektar serta menghampiri kawasan kebun penduduk.
“Setakat ini, tiga hektar kawasan telah berjaya dipadamkan, namun api masih aktif di beberapa lokasi,” katanya.


Kebakaran tersebut berlaku jauh dari kawasan kediaman penduduk, namun usaha pemadaman berdepan kesukaran berikutan keadaan muka bumi serta akses yang terhad ke lokasi kejadian.
Bagi membantu operasi, Unit Udara Bomba Miri digerakkan ke lokasi dan tiba sekitar 10.51 pagi.
“Sebanyak 30 operasi ‘water-bombing’ telah dilaksanakan dengan sumber air diambil dari laut bagi memadam kebakaran di beberapa tompok api,” katanya.
Operasi turut melibatkan kekuatan 11 anggota BBP Tatau dengan sebuah jentera LFRT, sebuah Triton dan sebuah Land Rover.
Sementara itu, Unit Udara Bomba Miri melibatkan 14 anggota bersama sebuah helikopter jenis Mi-171.