Kebakaran belukar 2.4 hektar di Ladang Tebaruk berjaya dipadam selepas tiga hari

Facebook
WhatsApp

SRI AMAN: Kebakaran belukar membabitkan kawasan seluas 2.4 hektar di Ladang Tebaruk, dekat sini berjaya dipadam sepenuhnya selepas operasi pemadaman dilaksanakan selama tiga hari.

Menurut kenyataan media Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 7.50 malam, Sabtu lalu.

Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman tiba di lokasi sekitar 18 minit kemudian, iaitu pada 8.08 malam, dengan jarak perjalanan sekitar 17 kilometer.

Kebakaran berjaya dikawal pada 10.00 malam hari yang sama, namun operasi pemantauan dan pemadaman diteruskan bagi memastikan api tidak merebak atau kembali marak.

Pada hari ketiga operasi, hari ini, tujuh anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah van dikerahkan ke lokasi.

Menurut laporan operasi, pasukan bergerak ke lokasi pada 9.31 pagi sebelum tiba sekitar 9.48 pagi untuk meneruskan kerja-kerja pemadaman.

Pasukan bomba menggunakan sumber air terbuka dari parit yang terletak sekitar satu kilometer dari lokasi kebakaran, dengan jentera membuat perjalanan ulang-alik bagi mendapatkan bekalan air.

Hasil usaha berterusan, keseluruhan kawasan terbakar seluas 2.4 hektar berjaya dipadam sepenuhnya pada 1.00 petang ini, manakala operasi ditamatkan pada 1.10 petang.

Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan. Operasi diketuai PBK II Noor Faqriakmal Jamari, dengan turut dihadiri Ketua Zon 3 JBPM, Muhammad Rais Adham Rosalan dan PPgB Shaibullah Sabeli.

Oleh Adi Safarman