

SIMANGGANG: Kebajikan rakyat di peringkat akar umbi akan terus menjadi agenda dan keutamaan tertinggi dalam memastikan setiap lapisan masyarakat, terutama golongan warga emas, tidak terpinggir daripada arus perhatian kerajaan.
Timbalan Menteri Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata, komitmen tersebut merupakan tanggungjawab berterusan yang dipikul bagi memastikan kesejahteraan hidup rakyat sentiasa terpelihara menerusi pendekatan turun padang secara berkala.
Beliau menjelaskan bahawa usaha menyantuni rakyat bukan sekadar rutin kerja, malah ia adalah platform terbaik untuk memahami denyut nadi dan keperluan sebenar penduduk di kawasan berkenaan.
Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berkesempatan menziarahi dan menyantuni sepasang suami isteri warga emas yang masing-masing berusia 84 dan 86 tahun di kediaman mereka di Taman Tiong Hua, Jalan Batang Lupar, hari ini.
Sesi santuni tersebut disulami dengan suasana hiba dan mesra, di mana beliau sempat meluangkan masa berbual serta bertanyakan khabar mengenai tahap kesihatan dan keperluan harian pasangan warga emas berkenaan yang telah lama menetap di situ.
”Setiap senyuman yang terukir dan doa yang mereka titipkan menjadi sumber semangat serta kekuatan untuk saya terus berkhidmat dengan lebih gigih demi kemajuan dan keharmonian kawasan Simanggang,” ujar beliau.
Tegasnya lagi, perhatian terhadap golongan memerlukan akan dipergiatkan menerusi pelbagai inisiatif bantuan dan lawatan kebajikan bagi memastikan setiap aduan serta permasalahan rakyat dapat diselesaikan dengan segera dan efektif.
Oleh Adi Safarman