KABONG: Kebajikan golongan nelayan di negeri ini sentiasa terbela melalui limpahan pelbagai program pembangunan dan kemudahan, sekali gus meningkatkan taraf sosioekonomi mereka khususnya nelayan miskin dan berpendapatan rendah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong Mohd Chee Kadir berkata, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Perikanan ditubuhkan bagi menjaga kebajikan dan menangani isu-isu melibatkan kehidupan golongan nelayan.
Kerajaan Sarawak ujarnya banyak membantu menyediakan pelbagai kemudahan untuk nelayan dari segi infrastruktur dan kemudahan lain.
“Kerajaan Sarawak tidak pernah mengabaikan nasib golongan nelayan di negeri ini. Pelbagai bantuan telah disediakan bagi membantu golongan nelayan.
“Kita berharap segala kemudahan dan bantuan sampai kepada golongan sasar seiring usaha mentransformasikan sektor perikanan dan menjadikan ia salah satu faktor penting yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri,” ujarnya ketika menghadiri simbolik penyerahan bantuan input peralatan perikanan nelayan di Pejabat Pertanian Daerah Kabong, baru-baru ini.
Menurut Chee Kadir, golongan nelayan perlu mempelbagaikan usaha dan aktiviti perniagaan dalam menjana pendapatan mereka.
“Golongan nelayan perlu memikirkan mekanisme terbaik untuk menjadi ‘peniaga jutawan’ dengan mengusahakan aktiviti ekonomi berasaskan hasil laut,” katanya.
Beliau tidak mahu mereka hanya bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan tetapi perlu berusaha untuk meningkatkan taraf hidup.
Dalam pada itu, beliau menyarankan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kabong supaya sentiasa peka dengan isu-isu semasa yang membelenggu sektor perikanan negeri yang akan memberi impak negatif kepada kemajuan sosial dan ekonomi ahlinya.
“Justeru, PNK perlu bersama mencorak idea dan gerak kerja dalam mendapatkan penyelesaian positif kepada isu-isu ini bagi melahirkan ahli yang berpendapatan tinggi,” katanya.
Terdahulu, seramai 279 nelayan laut dan darat bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong telah menikmati Bantuan Input Peralatan Perikanan Nelayan (BIPPN) menerima bantuan input nelayan seperti, coolbox, pukat, bubu serta jaket keselamatan yang akan diagihkan secara berperingkat kepada para peserta.
Chee Kadir berkata sebelum ini, geran berjumlah RM558,000 bagi tujuan BIPPN untuk kawasan DUN Kabong telah diluluskan oleh Kerajaan Sarawak bagi membantu para nelayan di kawasan ini.
Oleh ADI SAFARMAN