
BINTULU: Kebajikan mangsa kebakaran yang memusnahkan blok rumah pekerja di Jalan Sungai Nyigu hari ini terus diberi perhatian menerusi tindakan segera yang dilaksanakan oleh wakil rakyat kawasan terbabit.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, kejadian yang berlaku sekitar 1.00 pagi itu amat menyayat hati apabila sebuah blok rumah pekerja dua tingkat musnah sepenuhnya dan mengorbankan dua nyawa.
“Sejurus menerima maklumat kejadian, langkah kebajikan segera telah diambil bagi memastikan kebajikan mangsa terus terpelihara,” katanya yang turut turun padang menyantuni mangsa insiden malang berkenaan hari ini.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta mendoakan agar mereka diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi dugaan tersebut.

Menurutnya, sebahagian mangsa kini ditempatkan di sebuah blok kuarters lama berhampiran lokasi kejadian yang mampu menempatkan sehingga lapan keluarga, manakala mangsa lain ditempatkan di rumah sewa dengan kos sewaan ditanggung sepenuhnya oleh majikan masing-masing.
Katanya, mangsa juga digalakkan menghubungi Pusat Khidmat Rakyat DUN Jepak sekiranya memerlukan bantuan susulan, termasuk bantuan bakul makanan serta urusan penggantian dokumen penting yang musnah dalam kebakaran.
Dalam pada itu, Iskandar berkata, pihaknya bersedia bertindak sebagai pengantara dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Pendaftaran Negara bagi mempercepatkan urusan penggantian kad pengenalan, sijil kelahiran serta pengesahan dokumen persekolahan anak-anak mangsa.
Insiden kebakaran tersebut memusnahkan blok rumah pekerja dua tingkat di Jalan Sungai Nyigu serta mengorbankan dua nyawa iaitu Taun Nyaring, 61, dan cucunya, Melbourne Jeasy, 15.
Oleh Carolyne Utih