MUKAH: Politeknik Mukah Sarawak (PMU) telah mengambil langkah yang proaktif untuk memastikan pendaftaran pelajar berjalan lancar dan selamat.
Justeru, ia telah menggunakan kaedah pendaftaran pelajar baharu sesi Disember2020 secara Pandu Lalu (drive-thru) bagi pendaftaran Kemasukan Mac 2021.
Merupakan inisiatif baharu PMU itu telah dilaksanakan pada 1 hingga 2 Mac, dan bagi pelajar senior pada 4 hingga 5 Mac.
Menurut Pengarah PMU, Dullah Muluk inisiatif secara pandu lalu berkenaan disambut baik oleh ibu bapa dan pelajar serta pihak pengurusan kerana ia adalah antara langkah memutuskan rantaian dan penularan Covid-19.
“Daftar pandu lalu adalah yang pertama kali dilakukan dan saya nampak ia sangat berkesan dan pendaftaran pun cepat tanpa menunggu lama sebelum lapor diri di kamsis masing-masing.
“Di samping itu, ia juga dapat mengelak pengumpulan ibu bapa dan pelajar semasa pendaftaran anak-anak mereka,” ujarnya lagi.
Adalah difahamkan langkah tersebut telah memanifestasikan bahawa PMU mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak mengenai kemasukan pelajar ke Kampus.
Beliau juga menyeru kepada semua pelajar untuk sentiasa mengamal dan tingkatkan SOP kendiri yang tinggi untuk keselamatan bersama iaitu amalan 3W (Wash, Wear, Warn) dan elakkan 3C (Crowded, Confine places, Close Conversation).
“Apa yang penting ialah kita mesti membuat langkah berjaga-jaga sesama sendiri kerana pelajar dan ibu-bapa yang datang mendaftar datang dari pelbagai bahagian dan daerah yang dikategorikan sebagai zon hijau, kuning, jingga dan merah,” tambah Dullah.
Pendekatan yang diambil itu menyaksikan semua calon pelajar dan pengiring disaring (pengesahan suhu) bermula di pintu masuk, dan memastikan semua calon pelajar dan pengiring untuk mengimbas Kod MySejahtera yang telah disediakan di pintu masuk utama PMU.
Semua calon dan pengiring mesti memakai pelitup separuh muka (facemask) sepanjang berada di kawasan kampus serta mengamalkan langkah pencegahan Covid-19 yang lain.
Selain Dullah, juga kelihatan meninjau pendaftaran kemasukan pelajar ialah Timbalan Pengarah Akademik, Mohd Sani Said dan Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Iskandar Reduan.
Oleh HENRY B SIYU