KUCHING: Setelah hampir satu tahun tinggal di dalam kontena usang di Jalan Kuap, Batu 10, tanpa bekalan air dan elektrik, dua buah keluarga yang kurang bernasib baik akhirnya mampu menarik nafas lega kerana mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Lo Khere Chiang.
Salah sebuah keluarga yang ditemui, Nurul Syafiqah Bujang, 27, dari Siol Kandis berkata, beliau terpaksa tinggal di dalam kontena usang tersebut selepas dihalau keluar dari rumah sewa.
Ibu kepada dua anak tersebut berkata selepas dihalau, beliau bersama keluarganya ke kawasan Jalan Kuap tersebut untuk mencari kerja di sini, tetapi tidak bernasib baik dan akhirnya menyebabkan mereka sekeluarga tinggal di kontena usang itu untuk tempoh yang agak lama.
“Keadaan di sini memang agak susah, kita tiada sebarang bekalan elektrik, dan apabila hujan, air hujan akan masuk melimpah ke dalam dan akan basah.
“Kita juga tidak mampu untuk menyewa kerana tiada sumber kewangan dan sekarang juga tiada kerja, dan sukar untuk mencari pekerjaan pada waktu ini.
“Saya sudah lama tidak ada kerja kerana penularan wabak Covid-19 selain Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tambahan pula saya sekarang mengandung anak yang ketiga,” katanya ketika ditemui pemberita pada lawatan bersama Lo, di sini, semalam.
Dia memberitahu, beliau amat gembira sekiranya ada rumah sewa murah disediakan kepada keluarganya kerana tidak mahu terus hidup dalam keadaan tersebut dan mahu maju ke hadapan.
“Saya juga tidak boleh terus mengharapkan bantuan orang lain juga kerana saya bukannya ada cacat anggota lagi dan masih boleh pergi kerja, cuma keadaan sekarang yang agak sukar.
“Orang lain pun tidak akan terus menolong kita setiap hari dan sepanjang masa, justeru saya harus terus kena berusaha sendiri,” katanya yang mempunyai dua anak kecil iaitu Nur Alia Mohamad Syafik Aizul berusia satu tahun enam bulan dan seorang lagi Nur Damia Mohamad Syafik Aizul berusia empat tahun.
Sementara itu, bagi sebuah lagi keluarga mendiami kontena usang bersebelahan Syafikah iaitu Marikan Abu Seman, 52, berkata beliau hanya bekerja sebagai buruh dan bergaji antara RM20 sehingga RM50 sehari.
“Saya tinggal di sini dengan isteri dan seorang ipar kerana tidak mampu menyewa rumah.
“Jadi, saya berharap dapat rumah sewa sekitar RM150 sebulan itu supaya kami tidak perlu mengharapkan bantuan orang lain,” jelasnya.
Marikan turut meluah perkara yang sama seperti Syafikah yang mana tinggal di kontena tersebut bukan sahaja panas tetapi akan basah sekiranya hujan lebat.
Bagi keperluan air, kedua-dua buah keluarga tersebut menggunakan air dari pili bomba berdekatan untuk minum, mandi dan juga memasak.
Kini, kedua-dua keluarga terbabit mampu berasa sedikit lega kerana telah dipindahkan ke rumah sewa sementara iaitu rumah kedai di kawasan Batu 7 dan dibiayai oleh pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang dan selepas itu akan ditempatkan di rumah sewa di bawah seliaan Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Sarawak pada harga di bawah RM150 sebulan.
Oleh Cherly Law