
KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan memberi tumpuan terhadap aspek kebajikan dan kesejahteraan anak-anak susulan kes seorang wanita di Terengganu yang didakwa mempunyai dua suami dan masih belum berpisah.
Menterinya, Dato Sri Nancy Shukri berkata, beliau akan mendapatkan maklumat terperinci berhubung kes berkenaan dalam masa terdekat bagi meneliti bentuk bantuan yang boleh disalurkan, khususnya bagi memastikan kebajikan anak-anak yang terlibat terus terpelihara.
Menurut beliau, setakat ini kes berkenaan sedang ditangani oleh Jabatan Hal Ehwal Islam Terengganu dan berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri berkenaan.
“Saya baru tiba malam tadi dan masih belum menerima maklumat terperinci berhubung kes ini.
“Namun, perkara tersebut sedang ditangani oleh Jabatan Hal Ehwal Islam Terengganu. Insya-Allah, saya akan mendapatkan maklumat lanjut dalam masa terdekat untuk melihat apa yang boleh dilakukan bagi membantu anak-anak yang terlibat,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa urusan berkaitan aspek perundangan dan agama akan diserahkan sepenuhnya kepada kementerian serta agensi berkaitan, selaras dengan bidang kuasa masing-masing.
Terdahulu, media tempatan melaporkan dakwaan seorang wanita membongkar perbuatan kakak iparnya yang didakwa berkahwin dengan suami kedua di sempadan Thailand pada November lalu, sedangkan masih sah bergelar isteri kepada suami pertama.
Oleh Shahrul Qaizat