Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Keazaman, sokongan keluarga bantu pensyarah UM buta tamat PhD
  • PENDIDIKAN

Keazaman, sokongan keluarga bantu pensyarah UM buta tamat PhD

Utusan Sarawak 3 weeks ago
PENSYARAH kanan di Jabatan Sejarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM), Dr Noorilham Ismail, yang juga Orang Kurang Upaya penglihatan, menerima Ijazah Doktor Falsafah Sejarah Amerika Syarikat Moden pada Istiadat Konvokesyen ke-65 UM di Dewan Tunku Canselor, UM, semalam. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Keazaman dan sokongan keluarga membolehkan seorang pensyarah kanan Universiti Malaya (UM), yang tidak dapat melihat sejak usia lapan tahun, menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) tepat pada masanya, meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran dalam penyelidikan di luar negara.

Dr Noorilham Ismail, 35, yang kini bertugas di Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM berkata proses menyiapkan tesisnya yang bertajuk “Penglibatan Amerika Syarikat (AS) dalam Perang Falkland 1982-1983”, yang meneliti dasar luar AS di bawah pentadbiran Presiden Ronald Reagan dalam tempoh tiga tahun bukanlah sesuatu yang mudah.

“Untuk menulis, saya boleh menggunakan Microsoft dan perisian, tetapi bahagian teknikal seperti nota kaki dan bibliografi memerlukan ketelitian. Di situlah isteri saya banyak membantu,” katanya kepada pemberita selepas menerima Ijazah Doktor Falsafah pada Istiadat Konvokesyen UM ke-65 semalam.

PENSYARAH kanan di Jabatan Sejarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Univesiti Malaya (UM), Dr Noorilham Ismail, merupakan Orang Kurang Upaya penglihatan, menunjukkan skrol Ijazah Doktor Falsafah Sejarah Amerika Syarikat Moden yang diterimanya pada Istiadat Konvokesyen ke-65 UM, kepada ibu Salimah Kassim, 71, dan isteri Zarifah Arsani, 31, (kiri) di Dewan Tunku Canselor, UM, semalam. Foto Bernama

Noorilham berkata isterinya, Zarifah Arsani, 31, seorang suri rumah sepenuh masa dengan kelulusan dalam bidang sejarah, turut menemaninya sepanjang lawatan penyelidikan ke arkib di Washington DC, Maryland, London dan Cambridge, masing-masing selama sebulan.

Berasal dari Felda Lok Heng Selatan di Kota Tinggi, Johor, anak kedua daripada tiga beradik itu berkata selain cabaran akademik, kekangan kewangan juga menjadi ujian awal dalam pengajian PhD. 

“Saya bermula dengan wang tabungan sendiri. Kemudian menerima biasiswa Sasakawa Fellowship daripada Tokyo Foundation, manakala Menteri Sumber Manusia Steven Sim menampung perbelanjaan, tempat tinggal dan beberapa keperluan ketika saya di Amerika Syarikat,” katanya.

Noorilham turut menzahirkan penghargaan kepada ibunya, Salimah Kasim, yang sentiasa memberikan dorongan sejak beliau kehilangan penglihatan sepenuhnya akibat demam pada usia lapan tahun.

Beliau turut mendapat inspirasi daripada beberapa bekas pensyarah UM yang juga merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan.

Sementara itu, Sim berkata bantuan yang diberi ialah sebahagian daripada usaha untuk memastikan akses saksama kepada pendidikan tinggi, khususnya bagi mereka yang berdepan dengan cabaran khusus.

Beliau menanggung kos kajian Noorilham di AS sebanyak RM15,000, selain memberikan bantuan bulanan RM1,000 sehingga selesai pengajian. 

“Anak Felda ini pernah ditolak kemasukan bagi kursus Sarjana kerana cacat penglihatan, tetapi hari ini beliau berjalan dengan megah menerima PhD daripada Sultan Nazrin Shah, Canselor UM. Dahulu, Ilham dan isteri hidup sangat susah, nak makan pun tak cukup, ikat perut setiap hari, tetapi hari ini beliau sudah menjadi seorang pensyarah di UM.

“Bukan sekadar gaji lebih, malah beliau berjanji akan menjadi guru yang baik untuk mendidik anak bangsa tidak kira kaum dan agama. Saya sangat bangga,” kata Sim dan menambah kejayaan Noorilham membuktikan bahawa bakat dan kemampuan tidak harus terhalang oleh kekurangan.

Pada majlis konvokesyen semalam, Noorilham turut menerima hadiah sebagai tanda penghargaan termasuk fon kepala berjenama, jersi pasukan bola sepak Manchester United kegemarannya dan sejambak bunga.

-Bernama

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Kerajaan Sarawak terus komited perkasa pendidikan melalui Program Dwibahasa
Next: Gerakan pengakap kekal relevan bentuk jati diri, kepimpinan generasi muda

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.