
DEBAK: Keakraban antara masyarakat berbilang kaum dan agama merupakan keistimewaan Sarawak yang harus dipelihara sampai bila-bila.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata tradisi rumah terbuka yang menjadi budaya turun-temurun masyarakat di negeri ini pada setiap musim perayaan mewujudkan suasana meriah, penuh dengan nilai toleransi.
“Sebab itu konsep rumah terbuka dalam sambutan perayaan utama di negeri ini yang diraikan bersama oleh masyarakat berbilang kaum dan agama perlu diteruskan demi perpaduan masyarakat. Hal ini kerana perpaduan inilah yang menjadikan kita terus akrab seperti dalam satu keluarga meskipun bergaul dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Ramah Tamah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas bertempat di Pusat Sukan Riveria Debak, semalam.
Razi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas berkata Sarawak terus menjadi contoh terbaik semangat perpaduan dan keharmonian di negara ini walaupun didiami masyarakat pelbagai kaum dan agama.
Justeru itu, beliau mengajak rakyat di negeri ini khasnya di kawasan DUN Saribas terus bersatu demi kemajuan dan kemakmuran bersama.
Dalam pada itu, Razi menjelaskan penganjuran rumah terbuka perlu diperbanyakkan kerana ia merupakan satu platfrom terbaik untuk masyarakat bertemu dengan wakil rakyat.
“Tidak dinafikan majlis rumah terbuka seperti ini dapat mengukuhkan ukhuwah sesama rakyat berbilang kaum, dan pada masa sama memberi peluang kepada masyarakat untuk berinteraksi dengan saya tentang apa-apa perkara.
“Ini adalah kelebihan yang harus saya manfaatkan sendiri bagi mendengar apa juga suara di peringkat akar umbi untuk membangunkan lagi kawasan DUN Saribas ini,” ujarnya.
Razi dalam pada itu turut mengajak rakyat di kawasannya agar bersama-sama dengan beliau untuk membangunkan kawasan tersebut, dan beliau yakin dengan kerjasama padu daripada semua pihak tidak mustahil bagi merealisasikan impian untuk menyaksikan kawasan DUN Saribas menjadi sebuah kawasan yang membangun dan maju dari segala aspek.
Turut hadir Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu, Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Debak, Mohammad Khairurani Mohammad Ibrahim, Temenggung Piee Alwi serta kehadiran seramai 1,500 penduduk setempat.
Oleh Adi Safarman