Oleh Roslan Jomel
“Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?” Al-Quran, Surah Fussilat: 53)
SURAH yang dipetik dari kitab al-Quran seperti yang ditunjukkan di atas, adalah secebis daripada sejumlah ayat-ayat Allah SWT untuk menganjurkan kepada manusia agar berfikir. Sungguh tidak terbatas kekuasaan Tuhan yang mencipta alam semesta ini. Dan berasa betapa kerdilnya kita, tanpa mengira pangkat, keturunan dan bangsa, di atas muka bumi ini. Apalah ertinya hidup sehingga seratus tahun dan beribadat sepanjang hayat jika tidak tahu siapakah Tuhan yang disembah berserta dengan sifat-sifat-Nya. Menyaksikan keajaiban di dunia, baik di angkasa lepas mahupun di dasar laut, mendorong kita untuk merenung dengan kritis bahawa sudah tentu ada pencipta yang mengurus alam ini dengan penuh sistematik. Tidak terjangkau akal. Yang pasti, pencipta itu bukan makhluk sebagaimana manusia atau mesin yang terhad kemampuannya.
Naskhah “Ke Dunia Hadal” karya Khairina Nazihah menggembirakan saya. Pengarang telah mengangkat skop penulisan konvensional dengan mengajak pembaca untuk meneroka ke dasar laut sedalam 6,000 meter. Hebat.
Kita lupakan dahulu segala kacau-bilau di daratan yang tiada kesudahannya. Naskhah “Ke Dunia Hadal” membenamkan kita ke alam yang lebih sunyi, gelap, misteri dan sesungguhnya berisiko. Memang, di mana-mana juga ada risikonya. Tetapi yang menariknya, Khairina Nazihah telah melonjak jauh dengan tema yang agak baharu sepanjang saya menangani naskhah-naskhah untuk siaran Wadah Bahasa dan Sastera. Perkara ini suatu yang wajar diberi pujian kerana mengalih kebiasaan yang kerap ditulis oleh para pengarang muda. Wilayah sastera terlalu luas untuk dihadkan. Pembaca juga ingin membaca kisah pengembaraan ke angkasa lepas. Tentu sebuah pengalaman yang mengasyikkan.
Naskhah yang menggabungkan robot manusia (humanoid) dan Fikri serta Ikwan itu menuju ke dasar laut dalam misi ke Zon Hadal dengan menaiki kapal selam tercanggih diberi nama Amonit. Dikatakan bahawa kapal selam yang dibina sebelum ini hanya mampu menyelam sedalam 1000 meter sahaja. Tetapi kapal selam Amonit ciptaan negara sendiri itu diperbuat daripada titanium dan mampu menambah daya kekerasan beratus-ratus kali ganda. Di samping itu, kapal selam Amonit juga dilengkapkan dengan alat perakam kamera dan peranti-peranti untuk tujuan kajian. Fikri dan Ikwan menjadi manusia pertama yang diamanahkan untuk melakukan misi pandu uji kapal selam Amonit. Jika berjaya, kapal selam Amonit bakal dijadikan wahana dalam merealisasikan pelancongan ke laut dalam. Namun, langkah pertama baharu sahaja dimulakan. Tiada sesiapa yang tahu apa yang akan berlaku sepanjang misi itu nanti.
Nazry yang mengepalai misi selaman ke dasar laut dalam bukan manusia sebenarnya. Ia humanoid ciptaan para saintis tempatan dalam merancakkan penghasilan humanoid untuk pelbagai tujuan tertentu. Revolusi teknologi dalam negara kian sofistikated. Anda boleh melihat robot juga telah diberikan tugas sebagai pelayan di restoran. Maka, disebabkan itu, Fikri berasa seperti dipandang sebelah mata. Secara psikologi, Fikri berasa cemburu. Mengapakah robot diberi peranan sebegitu besar berbanding dengan manusia sebenar? Adakah kemampuan manusia terbatas tetapi tidak kepada humanoid? Atau adakah kerana manusia terlalu mudah dicengkam emosi maka dengan itu berpotensi menjejaskan profesionalisme dalam pekerjaan?
Adapun manusia humanoid bernama Nazry itu bukan sembarangan. Dalam tubuhnya telah dibekalkan segala keperluan terkini yang diperlukan untuk misi sukar itu. Misi yang diketuai Nazry untuk melakukan uji selidik berkenaan Zon Hadopelagik tidak semudah yang dijangkakan. Mereka bertiga sudah bersiap sedia dari segi mental dan fizikal andai berhadapan dengan situasi yang tidak diduga, misalnya perlanggaran atau apa-apa sahaja insiden kecemasan, mereka perlu segera berkomunikasi dengan menggunakan kabel yang menghubungkan kapal induk di permukaan laut. Di samping itu juga, cip minda yang dipasang dalam tubuh robot manusia bernama Nazry harus dalam keadaan sempurna. Manusia sebenar dan humanoid harus saling percaya antara satu sama lain dalam melaksanakan misi yang berisiko tinggi itu. Bekalan oksigen dan jentera kapal selam Amonit juga perlu diawasi dari semasa ke semasa. Kapal selam Amonit yang berkelajuan 50 knot menjadi harapan kepada mereka dan negara dalam meluaskan lagi sektor industri pelancongan. Jika berjaya.
Dalam laporan Berita Harian bertarikh 28 April 2021 (versi dalam talian), sebuah kapal selam negara Indonesia telah tenggelam dengan cepat pada kedalaman 850 meter di laut utara Bali. Insiden itu mengorbankan 53 orang kru. Kejadian itu dipercayai berlaku akibat arus bawah air yang kuat. Dimaklumkan juga bahawa, pergerakan gelombang bawah air laut yang kuat di kawasan kapal selam itu hilang, kelihatan dalam satu imej laporan yang dirakam satelit cuaca Jepun, Himawari-8 dan juga Eropah. Gelombang dalaman atau gelombang bawah air tersembunyi sepenuhnya di dalam lautan. Demikianlah pelbagai jenis ancaman dan risiko alam yang sukar untuk dilawan oleh kudrat dan kepintaran manusia. Disebabkan itu misi ke laut alam kapal selam Amonit perlu bersedia dengan segala keperluan canggih untuk keselamatan anak kapal. Hal itu lebih penting kerana ia melibatkan nyawa manusia. Namun dalam naskhah “Ke Dunia Hadal”, semua anak kapal selamat ketika naik semula ke permukaan laut. Memang ada insiden yang menggerunkan, tetapi mujurlah tidak mengakibatkan kerosakan pada kapal selam yang menuju ke dasar 6000 meter ke dasar laut. Yang mereka saksikan ialah sotong gergasi yang terbelah dua badannya. Siapakah pemangsanya? Tidakkah pemandangan itu menakutkan?
Kapal selam Amonit hanya mampu bertahan selama 12 jam di dasar laut. Hal itu dimaklumi oleh ketiga-tiga mereka. Maka urusan rakaman dan pengkajian perlu dilakukan dengan segera untuk menghindari kejadian-kejadian yang tidak dijangka. Alangkah ruginya jika misi itu gagal dan mereka naik ke permukaan laut dengan tangan kosong. Sungguh besar kos yang dicurahkan untuk misi mustahil itu. Dikatakan bahawa negara Malaysia ingin memajukan sektor pelancongan, namun tidak lagi bersandarkan kepada kecantikan alam semula jadi di daratan. Kali ini, negara Malaysia ingin terkedepan dengan pelancongan ke dasar laut. Bukan setakat melalui selaman dengan alat skuba dan aktiviti snorkel seperti yang sudah dilakukan sebelum ini. Aktiviti meninjau batu karang, menyelam di pulau-pulau dan bermain bot ski sudah ketinggalan zaman. Malaysia mahu lebih daripada itu. Maka program pelancongan ke dasar laut dalam perlu diperkenalkan sesegera yang boleh.
Saya tidak mengetahui apakah latar belakang dan profesion Fikri dan Ikwan yang secara sukarela mengikuti misi ke dasar lautan. Yang dimaklumkan melalui naskhah ini ialah Fikri begitu teruja meneroka Zon Hadopelagik. Bagi Fikri, Zon Hadopelagik mempunyai potensi untuk dijadikan sebagai lokasi istimewa dalam pelancongan kerana akan menaikkan lagi standard pelancongan sedia ada. Sebahagian pelancong gemar memasuki gua, meredah sungai dengan kayak, memasuki hutan dan bermalam di puncak gunung. Keinginan manusia sangat pelik dan mereka mahukan sesuatu yang luar biasa untuk memuaskan selera mereka. Maka naskhah karangan Khairina Nazihah telah membuktikan betapa infinitinya kemahuan manusia untuk meneroka sesuatu yang bersifat luar biasa. Adakah Fikri dan Ikwan pelancong sulung dalam kapal selam Amonit yang diberi peluang dalam uji selidik? Berapakah kos yang mereka berdua perlu bayar untuk dipilih menjadi sukarelawan? Bagaimanakah andai mereka berdua terkorban nanti?
Sebagaimana yang disedari, misi ke laut dalam mengundang risiko tinggi. Setelah terpesona oleh panorama brine pool, (sila semak di Internet kewujudannya). Nazry yang menjadi ketua dalam misi penyelaman kapal Amonit menghebahkan maklumat tentang brine pool kepada Fikri dan Ikwan. Canggih sungguh pengetahuan humanoid itu. Sesiapa sahaja mampu mengetahui pelbagai perkara, asalkan rajin membaca pelbagai bidang. Pengarang “Ke Dunia Hadal”telah melakukan kerja rumah yang memadai untuk menambah sisipan-sisipan bermakna dalam menguatkan tema yang diterokainya, iaitu bidang oceanography. Sikap sebegitu membantu untuk meyakinkan audiens akan kesungguhan pengarang dalam mengangkat tema sedemikian. Namun, maklumat-maklumat dan pembaharuan tema yang ditelusuri tidak meninggalkan impak kepada pembaca jika tidak diselitkan dengan cerita dan unsur-unsur saspens. Karya sastera masih menagih penceritaan. Lihat misalnya filem Arrival (terbitan tahun 2016 arahan Dennis Villeneuve).
Kebolehan Nazry tentang brine pool wajar sahaja menyebabkan Fikri berasa kerdil di sebelahnya. Sungguh komprehensif pengetahuan humanoid itu. Ketika asyik menyaksikan keajaiban brine pool, muncul secara mendadak buih-buih yang menghala ke arah kapal selam Amonit. Hal itu mendebarkan Fikri dan Ikwan. Apakah puncanya? Konon sebatian kimia dalam gabungan gas dan air tersebut, telah membentuk buih metana lalu kesannya menghasilkan satu mampatan yang kuat. Maka kapal selam Amonit pun tertolak dan berlanggar dengan batu-batu karang. Bunyi benda bergeser menyakitkan telinga mereka yang berada dalam kapal selam Amonit. Nazry yang mula mengesyaki sesuatu yang berbahaya, mengarah Fikri dan Ikwan untuk cepat berselindung. Bersembunyi di mana? Kapal selam Amonit tidaklah seluas mana. Ada pelbagai spesies haiwan laut bersaiz besar dan ganas di luar kapal selam Amonit. Apakah mereka terselamat? Lalu apa yang berlaku selepas kejadian itu?
Akibat daripada perlanggaran kapal selam Amonit dengan batu karang, cip minda Nazry terganggu. Hal itu tambah merunsingkan Ikwan dan Fikri. Cip minda Nazry gagal untuk memproses kejadian yang telah berlaku. Nazry terpelanting dari kerusi dan tubuhnya tercampak ke arah dinding lalu kepalanya terhantuk ke tetulang besi. Sistem data dan sistem operasi dalam tubuh humanoid bernama Nazry tidak berfungsi sebagaimana sepatutnya. Dan apabila tersedar daripada kesan hentakan, (mungkin dia pengsan seketika) skrin pandangannya tertulis: Gangguan Sistem. Hal itu telah mengecewakan Fikri. Bagi Fikri, Nazry belum lagi berkelayakan untuk dilantik sebagai ketua dalam misi yang kompleks itu. Sebaik sahaja menilai kejadian yang baharu sahaja menimpa ke atas mereka, Nazry segera menanyakan kestabilan dirinya dan juga situasi kapal selam Amonit.
Pada bahagian inilah baharu kita mengetahui bahawa Ikwan barangkali seorang jurutera bahagian mekanikal yang dipertanggungjawabkan sepenuhnya untuk mengendalikan sebarang kemungkinan ke atas humanoid bernama Nazry. Jadi, sedarlah kita, bahawa keupayaan robot tetap terbatas. Sebagaimana juga kemampuan kita sebagai makhluk yang dicipta oleh Tuhan. Dan pada bahagian itu juga kita dimaklumkan rupa-rupanya Fikri juga seorang jurutera yang diberi amanah untuk mengendalikan sistem kapal selam Amonit. Dua orang pakar itu lebih utama berbanding humanoid bernama Nazry. Setelah berpuas hati dengan keadaan kapal selam Amonit yang masih dalam keadaan baik, mereka bertiga berasa lega. Namun, apa yang mereka lihat selepas itu malahan lebih menggemparkan lagi. Kapal selam Amonit sudah pun mencecah ke kedalaman 6000 meter dari permukaan laut. Suatu rekod yang dahsyat. Mereka bagaikan berada di alam lain. Aneh dan terasing.
Pada kesempatan itulah, mereka segera memanfaatkan alat perakam untuk tujuan penyelidikan. Kapal selam Amonit dilengkapkan dengan sistem kamera yang berkeupayaan untuk merakam dalam keadaan gelap. Tidak semena-mena mereka terlihat seekor sotong raksasa yang terkerat separuh badannya. Siapakah yang lebih besar daripada sotong gergasi itu di dasar laut dalam? Bangkai sotong gergasi bersaiz 15 meter itu benar-benar menakutkan mereka. Sudah tentu terdapat spesies hidupan laut dalam yang dua kali ganda lebih besar daripada mangsa yang terpotong sebelah badan itu. Jerung pemangsa? Megalodon? Jerung terbesar itu telah hidup berjuta-juta tahun. Dimaklumkan oleh Nazry bahawa sekitar 2.6 juta tahun lalu, pada zaman Pliocene, megalodon terakhir telah dilaporkan mati. Sejak itu, kewujudan megalodon di dunia dikatakan telah mengalami kepupusan. Andai jerung bersaiz luar biasa itu pupus, maka, spesies apakah yang mengoyak sebelah badan sotong gergasi yang baru dilihat tadi? Fikri dan Ikwan sudah mula merungut bilakah mereka akan dinaikkan ke atas permukaan laut. Keadaan terkini semakin menggelisahkan mereka.
Adegan yang tidak diingini berlaku juga. Sebelum makhluk gergasi itu sempat menyerang kapal selam Amonit, makhluk yang menakutkan itu tersekat di jurang laluan akibat saiznya yang terlalu besar. Alangkah leganya perasaan Fikri dan Ikwan. Biarpun masih dicengkam ketakutan, Fikri sempat merakam detik yang bakal menjadi penentu hayatnya sebagai bukti untuk dibentangkan daripada misi singkat itu nanti. Kedua-dua anak kapal itu memiliki latar belakang yang berkaitan dengan misi ke laut dalam itu. Malangnya pengarang tidak menceritakan serba ringkas kelayakan itu sebagai maklumat tambahan kepada pembaca. Dan pada ketika itu jugalah, jelas terdapat perbezaan antara manusia sebenar dengan mesin yang menyerupai manusia. Tidak akan sama fitrahnya. Humanoid bernama Nazry tetap seperti biasa sahaja. Tiada jiwa, roh dan secebis rasa takut atau cemas. Atas alasan robotik itu, Nazry dipilih untuk mengepalai misi “Ke Dunia Hadal”. Sikapnya lebih konkrit berbanding manusia.
Jika benarlah seperti yang ditemui mereka bertiga, megalodon masih wujud, apakah pelancongan ke dasar laut dalam tetap diteruskan juga? Persoalan itu dibiarkan tergantung. Dalam naskhah menarik ini, Khairina menepati ukuran pengarang generasi baharu yang diperlukan ketika ini. Berani meneroka tema baharu yang tidak disentuh oleh pengarang-pengarang muda lain. Ia mentaliti yang positif. Apa yang cuba saya sarankan di sini adalah supaya sentiasa memperbaiki jalan ceritanya agar tema yang dikemukakan itu tidak sekadar menjadi tempelan semata-mata. Karya kreatif wajar disulami dengan jalinan cerita, aksi, karakter dan dialog-dialog cerdas. Hal itulah yang membezakan antara fiksyen dan laporan dokumentari. Apa-apa pun saya ucapkan syabas dan tahniah atas penulisan yang advance untuk naskhah “Ke Dunia Hadal”.