
JOHOR BAHRU: Keadaan keselamatan Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 bagi misi pengaman dan kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan setakat ini dilaporkan terkawal dan stabil meskipun berdepan situasi yang berpotensi mencetuskan risiko keselamatan.
Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, berkata anggota pasukan telah melakukan pelbagai langkah kontingensi dan sentiasa berwaspada serta tidak leka dengan keadaan semasa.
“Dari segi keselamatan dilaporkan dalam keadaan stabil, bagaimanapun kita sentiasa mengingatkan anggota supaya dalam keadaan waspada,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra PTD dan Pengerusi Jemaah BAKAT Bersama Keluarga MALBATT 850-12 di Kem Ulu Tiram di sini semalam.
Turut hadir Pengerusi Jemaah Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Darat Puan Sri Hartiah Hamzah.
Beliau berkata langkah-langkah kontingensi seperti membina bunker dilaksanakan dari semasa ke semasa supaya anggota tidak leka.
“Namun yang kita khuatirkan, takut ada tindakan-tindakan di luar kawalan oleh pihak yang bertelagah mungkin menembak ke kawasan tugasan kita, tetapi Alhamdulillah setakat ini belum ada lagi insiden-insiden yang begitu berisiko tinggi,” katanya.

Muhammad Hafizuddeain berkata sepanjang penugasan anggota pasukan MALBATT 850-12 diberikan kebenaran bercuti selama sebulan secara penggiliran.
Beliau berkata pasukan yang berangkat ke Lubnan pada November tahun lepas itu dijangka pulang ke tanah air secara berperingkat menjelang November depan dan akan digantikan dengan pasukan baharu iaitu MALBATT 850-13.
Pada masa sama, beliau berkata pasukan MALBATT 850-13 turut melibatkan 850 anggota termasuk satu platun daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
“Pasukan ini akan ditubuhkan dalam jangka masa terdekat dan buat masa ini pemilihan komander dan pegawai staf yang akan terlibat sedang dilakukan.
“Unit yang dipilih adalah Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja yang berpangkalan di Sungai Ara. Insya-Allah menjelang Jun mereka akan dikumpulkan bagi menjalani Latihan Integrasi Pasukan di Port Dickson,” katanya.
Terdahulu, pada majlis berkenaan Muhammad Hafizuddeain dan Hartiah yang juga isterinya menyantuni dan memberikan sumbangan kebajikan kepada ahli keluarga anggota pasukan MALBATT 850-12 termasuk ahli keluarga Tentera Darat Malaysia yang mengalami masalah kesihatan.
Turut diadakan sesi panggilan video secara langsung bersama anggota pasukan berkenaan.
– Bernama