SELEPAS Perang Dunia Kedua, Sarawak telah menjadi tanah jajahan British.
Oleh itu, British mempunyai tanggungjawab besar dalam pembangunan kemudahan kesihatan di Sarawak.
Pada peringkat awalnya, banyak kemudahan kesihatan musnah dan tidak dijaga selepas tamatnya Perang Dunia Kedua.
Hal ini menjadi tugas bagi British untuk memulihkan keadaan dan mengembalikan kepercayaan penduduk Sarawak.
Hospital
Dari segi kemudahan hospital pada 1947, terdapat dua hospital kerajaan, iaitu di Kuching dan Sibu.
Di Miri juga terdapat sebuah hospital tetapi dikendalikan oleh Sarawak Oilfields Limited.
Walaupun hospital tersebut dimiliki syarikat minyak itu, penduduk sekitar Bandar Miri boleh mendapat rawatan di hospital tersebut.
Penduduk di Bahagian Kelima terpaksa bergantung kepada kemudahan hospital di Brunei.
Kekurangan kemudahan hospital itu pula diimbangi dengan kemudahan dispensari untuk tempat yang tidak mempunyai hospital.
Terdapat 25 dispensari selepas perang dan tidak semua berfungsi.
Selain menyediakan ubat-ubat untuk pesakit, dispensari tersebut juga mempunyai kemudahan katil untuk pesakit.
Namun, jumlahnya tidak banyak, iaitu hanya maksimum 16 katil untuk pesakit yang memerlukannya.
Penolong Pegawai Perubatan atau lebih dikenali sebagai ‘dreser’ juga bertugas di dispensari tersebut.
Pesakit
Hospital kerajaan menjadi tumpuan pesakit yang ingin mendapat rawatan.
Jumlah pesakit teramai yang mendapat rawatan terdapat di Sibu.
Seramai 24,001 pesakit luar dan 10,823 pesakit dalam telah mengunjungi Hospital Sibu pada 1947 manakala di Kuching pula hanya 9,881 pesakit luar dan 10,119 pesakit dalam yang mendapat rawatan pada tahun sama.
Dispensari juga menerima kunjungan ramai oleh penduduk luar bandar dan pedalaman.
Dari 1946 hingga 1947, terdapat peningkatan dalam pendaftaran pesakit di dispensari.
Terdapat perbezaan pendapat antara masyarakat di Sarawak tentang kemudahan hospital yang disediakan oleh pihak kerajaan.
Hal ini boleh dilihat dari segi statistik pesakit mengikut kaum yang datang ke hospital.
Di Kuching misalnya, pesakit dalam kalangan penduduk Cina menggunakan kemudahan ini dengan sebaik mungkin bagi mendapat rawatan dan pemulihan.
Pada 1947, seramai 68 peratus pesakit yang mendapat rawatan adalah dalam kalangan penduduk Cina, manakala pesakit kaum Melayu agak kurang mendapat rawatan di hospital.
Pesakit dalam kalangan orang Melayu akan ke hospital pada tahap yang agak kritikal.
Keadaan sama juga berlaku dalam wad bersalin.
Orang Cina menampakkan kesedaran dalam menggunakan kemudahan perkhidmatan bersalin di hospital berbanding dengan kaum Bumiputera terutama dalam kalangan orang Melayu.
Bagi mengatasi masalah ini, pihak kerajaan British cuba memberi pendidikan dan perkhidmatan terbaik kepada penduduk Sarawak.
Daripada statistik kelahiran bayi pada 1947, menunjukkan bahawa seramai 91 peratus bayi yang dilahirkan adalah daripada orang Cina, manakala 14 bayi sahaja lahir dalam kalangan orang Melayu.
Selebihnya dalam kalangan orang India, Eropah, Dayak dan Eurasia.
Hospital Mental
Salah satu lagi kemudahan yang ada di Sarawak pada awal pemerintahan British pada 1940-an adalah hospital mental.
Menariknya, kewujudan hospital itu bukan sahaja untuk Sarawak, malah seluruh jajahan British di Borneo.
Hospital tersebut berdekatan dengan hospital Kuching dan mempunyai tiga wad.
Satu blok pula dikhaskan untuk kes-kes keganasan.
Dari segi kakitangan, hospital itu tidak mempunyai kakitangan terlatih dalam mengendali kes-kes mental. Hospital tersebut juga tidak begitu sesuai untuk melakukan rawatan.
Oleh itu, dicadangkan mencari tapak baharu untuk membina hospital tersebut.
Satu perbincangan dibuat antara tiga kerajaan di Borneo pada 1948 untuk merancang pembinaan hospital baharu bagi pesakit mental.
Klinik pergigian juga disediakan oleh hospital Kuching dan ia dikendalikan oleh seorang pegawai tempatan.
Perkhidmatan hanya diberi percuma untuk kanak-kanak sekolah dan pesakit di hospital.
Masalah klinik tersebut adalah kekurangan peralatan dan kemudahan.
Di sebalik kelemahan itu, pihak kerajaan British pada Disember 1947 telah menyediakan kerusi baharu dan peralatan perubatan kepada klinik pergigian tersebut.
Kemudahan
Walaupun Hospital Lau King How di Sibu dianggap sebagai paling produktif dalam menerima pesakit untuk dirawat berbanding hospital di Kuching tetapi usaha pemulihan ke atas hospital itu agak lambat.
Hospital tersebut mengalami kekurangan peralatan dan kakitangan serta dewan pembedahannya mengalami kerosakan teruk.
Oleh itu, hospital tersebut tidak dapat melakukan pembedahan untuk pesakit yang serius.
Hanya pembedahan kecil dapat dilakukan pada 1947. Pesakit yang memerlukan pembedahan serius akan dihantar ke Kuching.
Seperti di hospital Kuching, hospital tersebut juga tidak begitu banyak dikunjungi oleh penduduk Bumiputera.
Keadaan ini sama dengan pemikiran mereka dengan penduduk Bumiputera di Kuching.
Dalam hal ini, pihak kerajaan British berusaha mengembangkan perkhidmatan dispensari bergerak ke kawasan pedalaman Bahagian Ketiga agar ia dapat memberi khidmat perubatan yang lebih luas kepada penduduk Bumiputera.
Pedalaman
Hanya 21 dispensari di kawasan pedalaman dapat berfungsi. Khidmat dispensari itu amat diperlukan oleh penduduk pedalaman dan ini menunjukkan peningkatan pengunjung dari 1946 hingga 1947.
Masalah utama dispensari tersebut selepas perang adalah waktu operasinya.
Sesetengah dreser yang berkhidmat di dispensari akan melawat sekali sebulan di pusat-pusat kesihatan yang lain.
Oleh itu, dispensari itu hanya akan dijaga oleh seorang penjaga (atendan) atau akan ditutup sementara.
Sesetengah keadaan pula, dreser akan menemani pegawai daerah untuk melawat kawasan tertentu.
Dengan kata lain, masalah utama dispensari itu adalah kekurangan kakitangan. Masalah lain adalah peralatan yang tidak lengkap.
Bagi mengatasi masalah untuk menghubungi pesakit di pedalaman, pada 1947 kerajaan British di Sarawak telah mendapat peruntukan sebanyak $670,000 sebagai dana untuk membangunkan dispensari biasa dan dispensari bergerak.
Untuk dispensari bergerak, perahu digunakan untuk membawa dreser dan pembantunya beserta peralatan, menyelusuri sungai-sungai ke kawasan terpencil.
Perkembangan yang dipaparkan ini menunjukkan perang membawa masalah kepada pembangunan kesihatan di Sarawak.
Usaha pemulihan cuba dilakukan tetapi belum memadai memulih keseluruhan kemudahan kesihatan ini pada pertengahan dan penghujung 1940-an.
- DR. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).