BINTULU: Kemudahan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di sini tidak memuaskan, kata Ahli Parlimen Bintulu, Dato Sri Tiong King Sing.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu berkata PPS Dewan Suarah dan Paragon, berada dalam keadaan kurang memadai termasuk masalah pendingin hawa yang rosak, bumbung bocor dan kapasiti khemah yang sesak.
“Malah keadaan PPS tidak mencukupi bagi menampung jumlah mangsa banjir yang semakin meningkat di sekitar Bintulu,” katanya selepas melawat PPS Dewan Suarah dan Paragon di sini.
Susulan itu, beliau mengarahkan pihak berkenaan untuk melakukan penambahbaikan segera agar tempat perlindungan berkenaan dapat memberi keselesaan kepada mangsa yang terjejas.
“Keutamaan kami adalah untuk menyediakan PPS yang selamat dan selesa untuk mereka yang terjejas,” jelasnya.
Pada masa sama, Tiong turut menyeru Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memastikan pengagihan makanan dan bantuan lain disalurkan dengan lebih teratur dan tepat kepada setiap mangsa banjir yang berada di PPS.
“Kami akan pastikan tiada siapa yang tercicir dalam mendapatkan bantuan yang mereka perlukan,” ujarnya.
Beliau juga memaklumkan pasukan perubatan akan ditempatkan di Dewan Suarah esok untuk memberi saringan kesihatan kepada mangsa yang terjejas
“Memandangkan kepadatan penduduk yang tinggi di beberapa PPS, sesetengah mangsa yang dipindahkan mungkin mengalami masalah kesihatan berikutan banjir.
“Esok, pasukan perubatan akan ditempatkan di Dewan Suarah untuk menjalankan saringan kesihatan dan bantuan perubatan kepada mangsa-mangsa banjir.
“Selain itu, saya juga telah berhubung dengan pihak Jabatan Kesihatan Bintulu untuk menggerakkan kakitangan perubatan dari kawasan lain untuk membantu PPS yang ada,” katanya.