EARL ANEK
SARIKEI: Keadaan di bandar Sarikei kini agak meriah dengan kehadiran orang ramai dengan pembukaan semula aktiviti ekonomi dan sosial di Negeri Sarawak semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Covid-19 bermula semalam.
Tinjauan Utusan Sarawak di beberapa kawasan tumpuan orang ramai mendapati, jalan raya mula sesak dengan kenderaan yang mencari tempat parkir berdekatan dengan pasar raya.
Orang ramai berada di pasar raya membeli barang-barang keperluan dan ada yang minum dan makan di kedai kopi berhampiran.
Walaupun telah dibanjiri orang ramai, namun premis-prenis perniagaan melaksanakan garis panduan (SOP) yang telah ditetapkan.
Selain itu, orang ramai juga kelihatan telah membiasakan diri dengan etika penjarakan sosial dan pematuhan SOP menggunakan topeng mulut dan hidung.
Orang awam yang ditemubual Utusan Sarawak, Juliana Jumpat, 42, berkata, dia datang ke Sarikei untuk menghantar salah seorang anaknya ke hospital bagi tujuan mengambil sampel darah.
“Selepas selesai urusan di hospital, sebelum balik ke rumah di Bintangor, saya mengambil keputusan untuk membeli barang dapur di pasar raya.
“Apabila melihat keadaan di pasar raya agak sesak, saya membatalkan niat saya dan akan membeli barang dapur di pasar Bintangor,” katanya.
Sementara itu, seorang suri rumah, Balun Budol, 60, yang ditemubual Utusan Sarawak berkata, tujuan dia ke bandar Sarikei bagi membeli barang keperluan di rumah.
“Saya bersyukur kerana dapat membeli barang-barang keperluan rumah menggunakan wang bantuan dari Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak.
“Sejak PKP dilaksanakan, ini adalah buat pertama kali saya pergi ke pasar untuk mengambil wang bantuan dari kerajaan di bank. Terima kasih kerajaan kerana begitu prihatin dengan nasib rakyat,” ujarnya.