SILA hadam kenyataan dibawah ini terlebih dahulu sebelum membincang lanjut ke mana arah Gabungan Parti Sarawak (GPS) apabila berakhir Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) menjelang tengah malam Sabtu ini.
* Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin menang 114 kerusi daripada 171 kerusi yang ditandingi. Ikut matematik sudah boleh bentuk kerajaan baharu, sebab melepasi minimum 112 kerusi untuk majoriti mudah. PN adalah gabungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), PAS, GERAKAN, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).
* Pakatan Harapan (PH) pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin menang 90 kerusi, kurang 22 kerusi untuk membentuk kerajaan minoriti 112 kerusi yang diperlukan tetapi memerlukan kerjasama parti lain di ‘luar’ gabungan itu jika mahu kembali memerintah. PH yang bertanding di 212 kerusi adalah gabungan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).
* Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yakin untuk menang 112 kerusi, betul-betul atas garisan untuk bentuk kerajaan minoriti. BN dianggotai UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
* Gerakan Tanah Air (GTA) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sasar untuk menang lebih 112, juga di garisan minoriti untuk bentuk kerajaan. GTA bertanding 120 kerusi. GTA adalah pakatan empat parti politik iaitu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) serta gabungan badan bukan kerajaan yang membentuk Gagasan Bangsa (GB).
Di atas kertas dan teori berdasarkan ramalan, itulah dinamakan ‘politik matematik’ atau orang putih kata ‘The Mathematical Theory of Politics’.
Macam juga ramalan cuaca, selagi hujan belum turun kita tak tahu hujan atau tidak. Sama seperti keadaan sekarang… kerana rakyat belum mengundi, apa-apa boleh terjadi dalam tempoh 48 jam daripada sekarang.
Macam ramalan cuaca
Ada masa diramal hujan tetapi panas memanjang, ada masa ribut petir dan guruh berdentum. Ada masa betul, ada masa tersasar. Realitinya, hanya diketahui pada malam pengiraan undi Sabtu ini. Mungkinkah ada kejutan?
Apa pun, daripada semua gabungan parti di atas itu, hanya BN dan GTA tidak meletakkan calon untuk menyaingi GPS pada PRU-15 ini. Yang bersaing dengan GPS ialah PH dan PN.
PH melalui PKR bertanding 16 kerusi Parlimen iaitu Petra Jaya, Puncak Borneo, Sri Aman, Lubok Antu, Betong, Saratok, Kanowit, Mukah, Selangau, Kapit, Hulu Rajang, Sibuti, Miri, Baram, Limbang dan Lawas.
PH melalui AMANAH pula bertanding enam kerusi Parlimen iaitu Santubong, Samarahan, Batang Sadong, Batang Lupar, Tanjong Manis dan Igan.
DAP menampil sembilan calon untuk kerusi Parlimen Mas Gading, Bandar Kuching, Stampin, Serian, Sarikei, Lanang, Sibu, Bintulu dan Miri.
PN melalui BERSATU pula bertanding empat kerusi iaitu Parlimen Serian, Sri Aman, Saratok dan Bintulu, manakala PAS bertanding satu kerusi – Batang Lupar.
Betul GPS cuma bertanding 31 kerusi Parlimen (itulah jumlah kerusi yang ada di Sarawak) dan secara realiti, memang tidak boleh membentuk Kerajaan Persekutuan secara solo.
Tetapi berdasarkan sejarah lalu terutama kemelut pelantikan Perdana Menteri ke-8 (Muhyiddin Yasin) pada 29 Februari 2020 dan Perdana Menteri ke-9 (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) pada 21 Ogos 2021, hanya boleh disahkan apabila GPS menyatakan pendirian dan memberi sokongan bagi mencukupkan jumlah kerusi untuk membentuk kerajaan minoriti.
Maknanya, penyandang kerusi Perdana Menteri ke-8 dan ke-9 mungkin orang lain jika GPS buat pilihan lain ketika itu. Mungkinkah GPS sekali lagi jadi ‘kingmaker’ menjelang Isnin depan setelah gabungan parti tertentu belum mampu bentuk kerajaan minoriti atau sudah melepasi garisan 112 kerusi tetapi memerlukan sokongan parti lain bagi mengukuhkan lagi kedudukan kerajaan baharu?
Tawaran
Jika itulah keadaannya, detik selepas tengah malam Sabtu ini dan sepanjang hari minggu ini, akan berdering telefon pemimpin kanan parti-parti yang banyak menang kerusi untuk dirayukan bagi mendapat kerjasama dengan ‘tawar-menawar’ jawatan.
BN, PH dan BN – semuanya bagi tawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) untuk Sarawak dan Sabah sama ada hanya satu jawatan itu antara kedua-dua negeri ini atau dua jawatan TPM sekali. Ismail Sabri sendiri pula menjanjikan untuk memenuhi sebaik mungkin usaha mengembalikan hak Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) jika terus dipilih untuk jawatan Perdana Menteri dan BN kekal berkuasa.
Persoalannya, dengan gabungan mana arah tuju GPS untuk memberi kerjasama membentuk kerajaan baharu nanti? Tidak mungkin PH pimpinan Anwar kerana sepanjang kempen PRU-15 ini, PH menjadi sasaran kempen GPS berikutan tindakan PH ketika memerintah 22 bulan selepas PRU-14 2018, membatalkan sekurang-kurangnya 28 projek termasuk jambatan di negeri ini.
PN pimpinan Muhyiddin? Juga tidak mungkin kerana baru-baru ini tercetus perbalahan terbuka dalam media antara bekas Perdana Menteri itu dengan pemimpin utama GPS.
Ini berikutan tindakan PN yang dikatakan ‘mungkir janji’ untuk tidak bertanding di Sarawak dalam PRU-15, tetapi meletakkan calon untuk menentang GPS sekarang ini meskipun cuba dinafikan oleh Muhyiddin.
Namun, GPS sebelum ini pernah bekerjasama dengan PN yang turut merangkumi kerjasama dengan BN, PAS dan BERSATU sebelum Parlimen dibubarkan.
Jika ditakdirkan PH kembali berkuasa, rasanya GPS mungkin kekal sebagai pembangkang seperti mana berlaku selepas PRU-14 lalu. Namun, dalam politik musuh boleh jadi kawan dan kawan pula boleh jadi musuh, mengikut keperluan semasa. Andai PN berjaya membentuk kerajaan baharu nanti dan kerana pernah bekerjasama, mungkinkah GPS akan memberi kerjasama?
Bagaimana pula kerjasama GPS dengan BN? Inilah gabungan yang mungkin lebih serasi. Awal-awal lagi pemimpin BN iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah berbisik ‘merayu kerjasama’ dengan Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Selangau, Sibu Isnin lalu.
Ikuti bisikan ini:
Ismail Sabri: “Abang Jo, jangan lupa kita bekerjasama untuk Malaysia.”
Abang Johari: “Insya-Allah… kerana apa yang Sarawak mahu ialah mempunyai Kerajaan Persekutuan yang stabil untuk membangunkan Malaysia.
Abang Johari: “Kalau nak jadi PM, ingat Sarawak, berikan apa yang dimahukan oleh rakyat Sarawak’
Ismail Sabri: ‘InsyaAllah’.
Ismail Sabri dan Abang Johari hadir pada majlis perasmian Lebuh Raya Pan Borneo bagi Seksyen Pakej Kerja Kontrak 8 (WPC8) Selangau dan penyerahan Peranti Siswa di Selangau Isnin lalu.
Dalam ucapannya pada majlis itu, Perdana Menteri tanpa berselindung mengakui Kerajaan Persekutuan pasti tidak mampu berdiri sendiri tanpa sokongan daripada GPS.
Ismail Sabri berkata, walaupun GPS tidak bersama BN, kedua-duanya mempunyai sejarah hubungan yang panjang. “Kita memahami antara satu sama lain, kita memahami aspirasi rakyat Sarawak. Kita lebih memahami hubungan, yang walaupun kita berbeza sekarang ini tetapi kita masih bersama,” katanya.
Kali ini, mungkin kurang jika pun tiada lagi, tindakan lompat parti setelah akta yang melarang Ahli Parlimen melompat parti sudah mula berkuat kuasa mulai 5 Oktober lalu.
Bagaimanapun, kita tunggu dan lihat malam Sabtu ini.
* Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak