Oleh Stephanie Juanita Anak Ahlee
RENUNGAN tajam itu terus ke lantai jalan. Jalan yang tidak rata dengan batu-batu kecil yang pelbagai saiz dan warna. Ditumbuhi dengan rumput-rumput yang segar,baru sahaja dipotong si pemotong rumput. Cuaca cukup sempurna, setenang awan berarak. Minda si kulit gelap itu penuh dengan perancangan. Jikalau orang lain, mereka tentu akan berkhayal dengan imaginasi yang indah. Tidak baginya. Otaknya seolah-olah sedang mengira dan berfungsi seperti kalkulator. Hanya satu formula matematik sering bermain di benak fikirannya, KELAJUAN.
“Abang buat apa?” tanya Atong, adik yang berusia muda empat tahun daripadanya.
“Abang sedang berfikir bagaimana mahu menewaskan angina,” jawab Yan.
Si adik ketawa terbahak-bahak. “Angin?” tanyanya lagi. “Angin kan mana nampak?” jawabnya kepada persoalannya sendiri sambil menyambung ketawa. “Abang nak lawan orang dalam televisyen semalam kan? Lari laju-laju,pecah rekod dunia. Atong pun mau juga.” kata adiknya.Yan mengangguk.
Pagi itu, mereka berdua dihantar ke sekolah dengan motorsikal oleh ayah mereka. Masuk ke sekolah sebelum jam menunjukkan enam empat puluh lima pagi. Sampai di kelas, Yan terus melabuhkan punggung di bangku kayu sebelum rakan sebelah menyapanya. Dan, kelihatan susuk tubuh seorang guru lelaki masuk ke kelas sambil ketua kelas memberikan arahan berdiri untuk mengucapkan selamat kepada guru tersebut.
Dia melihat ke papan hitam. Kelihatan guru itu sedang mencatat sesuatu. Semua memberi penuh perhatian. Setelah selesai, guru berkemeja hitam itu duduk.
“Perhatian semua. Sekolah kita akan mengadakan larian amal dalam dua minggu lagi. Di sini, ada kad derma dan maksimum seorang murid perlu isi adalah sebanyak sepuluh ringgit sahaja.” jelas Cikgu Haizam. “Selain itu,sesiapa yang dapat mengumpul derma melebihi dua puluh ringgit, dia akan automatik layak ikut serta dalam pertandingan larian. Murid yang berjaya mengutip derma tertinggi juga akan mendapat hadiah.” Kedengaran sorakan teruja daripada murid kelas 5 Amanah.
“Ada jualan makanankah cikgu masa larian amal itu nanti?” soal seorang murid.
“Tentulah ada.” jawab Cikgu Haizam.
Di antara mereka, Yanlah yang paling seronok. Dia mahu berlari semasa larian amal itu nanti. Dia mahu mendapatkan kedudukan pertama. Dia sudah pun bertekad.
Apabila balik dari sekolah, Yan segera mendapatkan ibunya. Lalu, dia bercerita dengan ibunya hal larian amal. Sedikit kelat dalam senyuman si ibu. Wanita itu tidak juga tersenyum gembira, namun wajahnya juga tidak ketara sedih. Bagi dia, dua puluh ringgit itu banyak. Mungkin sesetengah orang mencabut nilai sebegitu dari dompet seperti hilang seringgit. Tidak bagi keluarganya. Apa sajalah pekerjaan si bapa. Hanya buruh binaan kasar. Kerja seminggu, gaji seminggu. Itupun kalau hari-hari turun. Kadang-kadang sebulan hanya bergaji sembilan ratus sahaja. Yan sedar perubahan wajah si ibu.
“Ibu, nanti Yan jalan-jalanlah di sini cari dan kutip sampai dua pulih ringgit.” jawabnya.
Petang itu, Yan mulai berasa mahu berlari. Dia berlari anak dahulu, seronok dia sambil memandang ke langit dan kelihatan awan tidak berarak. Mungkin belum cukup laju, detik hatinya. Rumah mereka agak jauh dari tepi jalan kerana tinggal di belakang kawasan industri. Hanya rumah kayu beratap zink. Maklumlah rumah pekerja buruh binaan. Lebih kurang ada dalam belasan sahaja rumah di situ. Tidak juga rapat-rapat tetapi kawasan di situ hanya seluas dalam tiga ekar saja termasuk beberapa jentera berat dan lori berada di situ.
Yan berjalan ke kawasan itu lalu menyapa beberapa jirannya. Tidak banyak, tetapi dia dapat dalam enam ringgit sahaja hari itu. Bolehlah, fikirnya. Esok cari lagi, fikirnya.
Dia balik dengan senyuman. Aku hanya perlu empat belas ringgit saja lagi.
Yan masuk melangkah ke dalam rumah lalu disapa si adik. “Abang buat apa tadi?” Si adik berbisik seolah-olah tidak mahu suaranya didengari oleh penghuni lain di rumah itu. Yan layan sahaja karenah si adik, menyahut dalam bisikan, “…abang berlari.”
Atong masih lagi berbisik. “Abang lari lajukah?” soalnya lagi
Yan mengangguk. Itu jawapannya, tidak bersuara tetapi mudah difahami.
“Abang pergi mandi sekarang. Badan abang busuk.” Ibu menegur. Dia tahu Yan penat berlatih. Berlari di kawasan itu. Sudah dia awal-awal pesan, jikalau keluar dari rumah,pastikan sentiasa selamat walaupun di mana jua. Selalu perhati kiri kanan ketika melintasi jalan.
Yan berbaring di atas tilam empuk berwarna biru bercorak awan di langit itu. Semasa di sekolah pagi tadi, dia ada ke pusat sumber. Dia baca sebuah buku dan teringat satu kata-kata inspirasi yang tiba-tiba menyentuh hatinya, “Jangan bermimpi untuk menang, berlatihlah untuk itu!” Benar. Lakukan jika sudah bertekad. Bukan hanya sekadar berkata-kata di mulut dan angan-angan. Buktikan! Tekadnya. Dia berjanji untuk mencuba sehabis baik.
Seharian Yan gelisah. Sudah tiga hari dia tidak berjaya mengumpul walau sepuluh sen pun sejak kutipannya berjumlah enam ringgit sahaja itu. Mahu dia minta pada ibunya, apakan daya. Wang keluarga untuk membeli keperluan asas. Dan, dia awal-awal telah berjanji untuk dirinya sendiri untuk mengumpul wang derma itu dengan titik peluhnya sendiri. Biar dia susah agar dia lebih bertekad untuk berlari dengan penuh semangat. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Yan perhati wajah ibunya. Ibunya tidak sedar diperhati. Tidak, harus aku usaha sendiri. Ucapnya pada dirinya. “Ayah.” Yan membuka mulut setelah mendekati ayahnya yang sedang tekun membaca surat khabar. Ayahnya menoleh ke arahnya. “Ada apa?”
“Esok Yan ikut ayah ke tempat kerja.”
Lama ayahnya berdiam. Tidak dia menyangka anaknya akan bertanya soalan begitu kepadanya. “Untuk apa?” soalnya lagi.
“Yan saja nak lihat tempat ayah bekerja. Kalau-kalau Yan boleh tolong sikit-sikit.”
“Boleh, tapi balik pun petang. Yan kena bertahan di sana kerana cuaca sana panas. Berteduh pun berpanas.” Yan berasa sangat gembira.
Yan meniti papan lapis. Hari ini dia turun bersama ayah, ke tempat ayah bekerja. Awal-awal lagi ayah beri nasihat supaya berhati-hati ketika berada bersamanya kerana tentunya tempat itu berbahaya dengan paku-paku, batu-bata dan sebagainya. Yan sudah besar, dia mengerti. Dia datang untuk membantu ayahnya dengan tambahan niat; mahu minta derma dengan orang bekerja di situ.
“Wah, anak awak pun ada ikut sekali, ya Daud?” tanya lelaki Cina yang sedikit boroi bertopi keselamatan warna kuning.
“Maaf, tauke. Dia mahu ikut tadi, jadi saya bawa saja. Esok saya tidak bawa lagi. Ini kali saja.” jawab ayah.
“Tidak mengapa. Cuma kalau boleh, jangan bawa lagi ya sebab budak-budak tidak dibenarkan ke tempat begini.”
Ayah mengangguk.
“Sini.” Lelaki itu memanggil Yan. Yan tidak berani ke hadapan. Ayahnya menolak dia dengan perlahan. Lelaki Cina tersenyum. “Sini, sini. Nah, ini awak ambil.” Lelaki itu menarik wang kertas berwarna hijau bertulis lima puluh ringgit.
“Eh, banyak sangat ni, tauke.” kata ayah.
“Tidak mengapa. Saya beri dengan ikhlas. Ambillah.”
Yan berjalan perlahan dan mukanya tersipu-sipu malu sambil menyambut wang itu. “Terima kasih.”kata Yan.
Lelaki Cina itu menggosok-gosok rambut Yan sehingga kusut. “Belajar rajin-rajin,ya?”
Yan mengangguk. Akhirnya, dia tersenyum.
Apabila mereka balik ke rumah pada hari itu, Yan cepat-cepat berlari ke arah si ibu lalu menceritakan perihal dia menerima wang daripada majikan ayah. Wajahnya tampak ceria dan seronok sambil tidak berhenti-henti menyebut perkara yang sama berulang-ulang. Si ibu menjawab, “Alhamdulilah, syukur.”
“Dapatlah Yan ikut pertandingan berlari. Seronok sangat. Esok Yan nak berlatih sungguh-sungguh.” kata Yan.
“Esok Ahad ya Yan? Apa kata ayah bawa Yan berlatih dekat padang di taman belakang sana?”
“Atong nak ikut! Atong nak ikut!” kata si adik pula.
“Ye, adik boleh ikut sama.” jawab si ayah. “Sekarang pergi mandi. Bersihkan diri. Nanti kita nak makan,ayah lapar dah ni.” tambah si ayah lagi.
Malam itu, dia juga tidur awal. Semoga dibuai mimpi yang indah wahai anakku, bisik si ayah ketika menyelimuti Yan dan Atong. Malam mulai sunyi dan bintang-bintang mulai asyik berkelipan menerangi langit dengan bulan menerangi angkasa. Mungkin bulan juga sedang mendoakan kesejahteraan semua warga di muka bumi.
Dalam cuaca mendung dan tak berapa panas itu, Yan, adiknya serta ayah pun menuju ke padang yang terletak tidak jauh dari situ menggunakan motosikal dan hanya memakan masa 15 minit sahaja untuk sampai. Tidak ramai orang pada petang itu. Mungkin mereka ke tempat lain untuk menghabiskan hujung kinggu bersama keluarga tercinta.
Pada mulanya, Yan malu-malu untuk melangkah kaki ke arah padang. Dia hanya menyepak rumput lalang yang tumbuh. Pokok semalu turut merasai perasannya apabila dilibas dengan kaki Yan.
“Yan, pergilah. Bersenam panaskan badan dulu. Ayah duduk di sana saja.” kata ayah sambil melabuhkan punggung di bangku kayu. Dia kemudian melihat skrin telefon. Yan mulai memanaskan badan. Atong yang duduk bersebelahan si ayah juga memerhati sekeliling. Tidak lama kemudian,dia bangun dan menyertai Yan. Lebih kurang dalam 45 minit kemudian, Yan pun duduk setelah penat berlari. Atong lama sudah tidak ikut Yan berlatih kerana berasa letih. Lalu, Yan pun duduk di sebelah Atong. “Abang nanti nak dapat nombor berapa?”
“Tentulah nombor satu. Dapat hadiah.” Sahut si abang.
“Wah!”jawab Atong.
“Kamu berdua nak aiskrim tak?” soal si ayah apabila melihat seorang penjual aiskrim sedang bergerak dengan motosikal beroda empat. Mereka berdua pantas mengangguk. Kedua-duanya terus berdiri dan menanti si ayah yang sedang membeli aiskrim paddlepop rainbow itu. Petang itu mereka akhiri dengan kenikmatan aiskrim.
Malam itu, ayah dan Atong keluar beli barang di pasar malam untuk membeli sedikit makanan. Yan tidak mahu ikut kerana dia berasa sangat penat setelah berlatih larian pada petang itu. Dia dan ibu sahaja yang tinggal di rumah ketika itu. Malam itu sunyi dan cuaca agak baik.
Lebih kurang pada pukul 8 malam,ibu mendapat panggilan daripada seseorang. Rupanya ayah dan Atong kemalangan betul-betul di hadapan lampu isyarat. Mereka berdua dilanggar oleh kereta yang melanggar lampu isyarat berwarna merah. Ibu panik dan dia segera ke hospital dengan menumpang kereta majikan ayah. Majikan ayah yang menghubungi ibu sebentar tadi setelah mendapat berita tentang kemalangan ayah dan Atong. Yan terpaksa tinggal bersama dengan jiran sebelah rumah.
Ayah tidak mengalami kecederaan teruk tetapi Atong mengalami luka di kaki yang agak teruk. Dia mengalami patah kaki kanan kerana bergilis di antara jalan dengan tayar motosikal ayah. Ayah pula hanya tercalar di bahagian tangan dan siku kanan. Apabila ibu pulang ke rumah, wajahnya suram dengan tampak kesedihana yang teramat sehingga tidak mampu untuk menjawab soalan Yan. Akhirnya, Yan berdiam diri sehingga tertidur pada malam itu.
Pada keesokan harinya, Yan turun ke sekolah seperti biasa menumpang jirannya. Namun, apabila dia balik dari sekolah, dia dibawa bersama keluarga jiran kerana ibu telah ke hospital. Petang itu, barulah ibu dan ayahnya pulang tetapi Atong masih lagi dirawat di hospital. Yan berasa sedih sekali. Tiada kedengaran suara si adik bergurau dengannya seperti selalu. Dilihatnya ayah nampak suram. Dia tahu ayah berasa bersalah atas kemalangan yang terjadi.
“Kenapa kamu kelihatan tidak bersemangat, Rayyan?” soal Cikgu Hamdan. Dilihatnya Yan hanya duduk di tepi dan tidak bersama-sama rakannya bersukan semasa mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan.
“Adik saya kemalangan, cikgu. Saya tidak dapat fokus berlatih untuk larian amal itu nanti. Saya sangat sedih, cikgu.” jawab Yan jujur. Air mukanya nampak berubah setelah meluahkan perasaan pilu itu. Cikgu Hamdan nampak wajahnya berubah sedih. Cikgu Hamdan kemudiannya duduk bersebelah dengan Yan sebelum memegang bahu Yan. “Yan kena bersabar. Doakan adik cepat-cepat sembuh. Selepas ni, Yan kena berlatih sungguh-sungguh untuk larian amal Sabtu ini. Fokus dan bersemangat. Apa sahaja keputusan, pastikan ia adalah hadiah terbaik dari Rayyan untuk adik.” kata Cikgu Hamdan pada Yan. Yan mengangguk. Kata-kata gurunya itu bermain di ingatan sehingga dia tiba di rumah.
Petang itu, Yan dan ayah ke hospital melawat adik. Dia berada di sana tidak lama kerana masa melawat adalah singkat. Dilihatnya kaki adik dibalut, namun adik tidak menangis. Malah adik tersenyum gembira melihat dia datang petang itu.
“Abang sudah ikut lariankah?” soalan pertama yang keluar dari mulut Atong.
Yan menggeleng kepala. Dia mahu senyum tetapi hatinya sebak melihat keadaan si adik. “Semalam Atong mimpi abang bawa balik piala. Tapi Atong tak tahu nombor berapa. Sebab Atong terbangun.” katanya dalam tawa. “Atong sakit?”
Atong menggeleng kepala. “Tak, Atong kuat. Nurse cakap Atong kena makan ubat, berehat. Nanti Atong cepat sembuh.” jawabnya. Sungguh pintar sekali si adik menjawab. Mereka berborak sehingga kedengaran bunyi daripada pembesar suara di dalam wad itu mengingatkan mereka bahawa masa melawat telah tamat. Sebelum balik, Yan sempat berbisik, “…abang akan dapatkan nombor satu untuk adik. Yan janji.”
Hari yang dinantikan tiba. Ramai orang datang ke larian amal kali ke-20 yang diadakan di sekolah Yan. Yan datang tidak ditemani sesiapapun kerana semalam ibu jaga adik dan pada hari ini, ayah kena ganti ibu pula. Tetapi Yan tidak bersedih kerana dia ada janji yang perlu ditunaikan. Dia lihat ramai rakan sebayanya yang mendaftar untuk larian kategori tahap dua. Dia tidak pasti siapa lebih hebat di antara mereka kerana tidak pernah bersaing untuk larian jarak jauh.
Larian pada hari itu dimulai dengan perasmian oleh Yang Berhormat melepaskan peserta dari kategori terbuka. Jantung Yan berdebar kerana selepas ini giliran dia untuk kategori tahap dua. Bukan sedikit mereka yang ikut, dalam pendaftaran tadi, nama dia sahaja sudah terletak di nombor 48. Maknanya peluang dia untuk menang kebarangkalian adalah satu per lima puluh. Dia pandang ke kiri dan ke kanan. Semua pesaingnya seolah-olah singa yang kelaparan yang masing-masing mengimpikan kemenangan. Dia ingat pesan ayah, “Pandang terus ke hadapan. Jangan toleh ke belakang.”
“Ke garisan, sedia…”
Pistol pelepas pun berbunyi. Dan, Yan pun memulakan larian sepanjang 2km itu. Pada mulanya, ramai mereka yang berlari pada kedudukan yang sama. Yan tahu dia mesti mengekalkan momentum dan pernafasan yang stabil agar dapat menghabiskan larian itu serta tidak membazirkan tenaga yang ada sehingga ke garisan penamat. Usain Bolt pernah mengatakan, “Jangan memikirkan awal perlumbaan.” Kata-kata itu Yan masih ingat ketika dia melihatnya di kaca televisyen pada awal tahun lalu.
Masih ada lagi 500meter dan hampir tiba di garisan penamat. Dalam satu tempoh larian itu, masih ada sekurang-kurangnya 7 orang berlumba untuk mendapatkan kedudukan terbaik. Tiba-tiba Yan jatuh tersungkur. Rupanya tapak kasut Yan telah tertanggal. Yan menoleh apabila ada orang telah memotongnya. Dia hampir menangis kerana kasut tidak dapat digunakan. “Lari laju-laju, laju abang!” Kedengaran suara si adik menjelma di benak fikiran. “Laju abang!”
Yan tekad. Dia buka kasut yang sebelah lagi lalu meninggalkan kedua-dua kasut di atas rumput. Tidak dia hiraukan kakinya memijak jalan yang panas dengan haba tepat jam 10 pagi. Niat Yan ketika ini, tidak lain tidak bukan, untuk mendapatkan kedudukan terbaik daripada yang terbaik. Pantas dia berlari kerana dia tahu garisan penamat hampir tiba. Beberapa orang berjaya dipotongnya. Ahli-ahli Persatuan Bulan Sabit Merah yang bertugas pula memberikan sokongan dan sorakan kepada Yan. Ini menambahkan lagi semangat Yan untuk terus berlari dan mara ke hadapan. Yan perhati dari jauh. Masih ada seorang lagi pelari di hadapannya yang perlu dikejarnya. Dia naikkan lagi pecutan larian. Dan akhirnya…
“Abang!”panggil Atong. Dia melambai-lambai kepada Yan apabila melihat Yan berjalan menuju ke arahnya di dalam wad kanak-kanak. Yan tersenyum.
“Abang dapat nombor berapa?”
“Abang dapat nombor…” Yan tidak menjawab. Sebaliknya, dia mengambil piala daripada beg birunya.
“Yan dapat ni.” Sambil memegang piala itu. “Abang dapat nombor satu?” soal Atong. Yan mengangguk. “Wahhh!” Suara Atong memenuhi ruangan bilik wad itu. Ibu segera menggeleng kepala dan memberitahu mereka supaya tidak berbuat bising. Atong segera menutup mulutnya. Atong kelihatan gembira dan suka pada piala yang dimenangi oleh Yan. “Maafkan abang. Abang tidak mampu untuk merawat kesakitan adik tetapi semoga ini menjadi hadiah yang bererti untuk adik.” Hati kecil Yan berkata-kata. Dan, Yan telah bernekad. Pada hari itu juga,dia diberi tanggungjawab yang besar iaitu mewakili sekolah untuk pertandingan merentas desa peringkat sekolah rendah di daerah itu. Sekolah juga akan menghadiahkan dia dengan kasut baharu. Kasut yang lebih bersesuaian. Tiada kata-kata lain,hanya bersyukur. Mulai hari itu, dia telah berjanji dengan dirinya untuk menjadi atlet dalam sukan larian yang terkemuka mewakili negara suatu hari nanti. Kegembiraan dan senyuman si adik menguatkan dirinya. Penyokong terkecil yang memberikan kemenangan besar buatnya sehingga ke garisan.