Oleh Khairina Nazihah
KEADAAN di dalam kapal selam itu sangat sempit. Fikri menjeling ke arah Nazry. Kepercayaannya pada Nazry belum tuntas. Dia sentiasa meragui kemampuan Nazry. Namun perhatian yang diberikan oleh pihak atasan kepada Nazry menyebabkan dia berasa cemburu. Perasaan iri hati tidak pernah terpisah daripada sikap manusia. Mengapa kemampuan manusia disisihkan untuk memberi peluang kepada Nazry?
“Nazry! Bagaimana dengan sistem Amonit sekarang?” Sayup-sayup kedengaran suara parau hinggap ke telinga Nazry melalui interkom.
“Tiada apa-apa masalah. Kami akan terus menyelam ke Zon Hadal.”
Kembara ke dasar laut untuk melakukan uji selidik berkenaan Zon Hadopelagik; zon lautan terdalam dengan kedalaman melebihi 6,000 meter di bawah paras laut akan dimulakan. Fikri dan Ikwan telah dengan sukarela menyertai misi ke Zon Hadal dengan menggunakan kapal selam ciptaan terbaharu, Amonit yang boleh bergerak dengan kelajuan maksimum 50 knot. Kelajuan ini mengatasi kelajuan kapal selam Virginia dan Astute yang digunakan oleh tentera Amerika dan United Kingdom suatu ketika dahulu. Tindakan mereka memandu uji Amonit yang bersaiz sederhana untuk mencapai kedalaman 6,000 meter membawa risiko yang tinggi. Apa-apa sahaja boleh berlaku. Lagipun kapal selam yang dicipta sebelum ini hanya mampu menyelam paling maksimum 1000 meter sahaja.
Pada tahun 1960, Jacques Piccard dan Don Walsh menaiki Batiskaf Trieste menyelam ke Jurang Mariana sedalam kira-kira 11 kilometer. Beliau berjaya sampai ke dasar laut namun 20 minit kemudian terpaksa bergegas naik semula ke permukaan kerana kapal selam yang dinaiki pecah akibat tekanan air yang semakin tinggi. Oleh itu, ciptaan terbaharu kapal selam Amonit dihasilkan dengan penggunaan titanium selepas didapati mampu menambah daya kekerasan beratus kali ganda. Disebabkan hal demikian, Amonit dikatakan boleh bertahan sehingga 12 jam untuk menyelam ke dasar lautan. Amonit juga telah dilengkapi dengan fungsi kamkoder paling canggih dan alat kajian laut terkini yang tercipta khusus untuk kegunaan kajian aseanografi. Walaupun demikian, saintis-saintis Malaysia tidak pernah melakukan pandu uji terhadap Amonit untuk memastikan kapal selam tersebut tidak mempunyai apa-apa masalah hingga selamat untuk menyelam ke zon lautan terdalam. Ini hanya menambahkan lagi risiko terutama kepada Ikwan dan Fikri.
Fikri sangat teruja meneroka Zon Hadopelagik yang mempunyai potensi dijadikan muzium dasar laut sebagai tarikan pelancongan. Tetapi dia masih tidak dapat menerima apabila Nazry dijadikan sebagai ketua projek. Baginya, muzium dasar laut ini mungkin berbeza sedikit daripada yang diusahakan oleh Jaime Gonzalez Canto dan Jason deCaires Taylor yang membina muzium dasar laut Cancun di Mexico yang berteraskan kepada terumbu karang. Di Mexico, keindahan itu hanya dinikmati oleh pelancong yang mempunyai lesen skuba untuk melihatnya melalui aktiviti snorkeling sedangkan kali ini, mereka mahu pelancong menikmatinya melalui Kapal Selam Amonit yang selesa dan canggih. Amonit akan dibangunkan lagi untuk merealisasikan pelancongan laut dalam. Dengan pencemaran yang berlaku secara berleluasa di daratan termasuk kesan daripada peperangan kuasa-kuasa besar dunia pasca perang dunia kedua dan pasca perang dingin termasuk penggunaan senjata nuklear dan biologi secara berleluasa, negara yang ingin memajukan ekonomi melalui pelancongan perlu mencari alternatif baru dalam dunia moden kini. Negara Malaysia mahu terkedepan memajukan pelancongan dasar laut. Sebab itulah kerajaan Malaysia termasuk negara ASEAN dan Jepun bermati-matian menentang dakwaan Beijing bahawa keseluruhan Laut China Selatan adalah milik negara berkenaan sehingga turut mendapat perhatian daripada negara G7 agar pertelingkahan itu diselesaikan secara rundingan. Penemuan beberapa artifak yang berusia lebih 400 tahun termasuk muatan kargo daripada Dinasti Ming sebelum ini dan tujuh buah bangkai kapal lama termasuk dari Portugis oleh beberapa ahli arkeologi marin Malaysia menjadikannya kajian ini perlu terus dimajukan. Benar, di dasar laut juga tersimpan sejarah yang sesuai dijadikan tarikan pelancongan.
“1000 meter dari aras permukaan.” Tutur Fikri.
“Tiada sebarang tanda-tanda masalah buat masa sekarang. Bermula dari cerun benua, kita akan menyelam ke bawah lagi.” Nazry pula yang berkata.
“4000 meter.”
“5000 meter.”
Semakin lama masa berlalu, semakin dalam Nazry dan dua rakannya menyelam dengan Amonit. Nazry telah memasang lampu sorot pada Amonit untuk menyuluh perjalanan ke laut dalam menuju ke zon lautan terendah. Semua ini sebagai langkah berjaga-jaga jikalau terdapat makhluk laut dalam mendekati kapal selam ketika dalam gelap. Amonit semakin dipandu merendah. Kawasan sekeliling kapal selam juga kian diselubungi kegelapan.
“Lihat. Bukankah itu brine pool?” Ujar Fikri secara tiba-tiba, memecahkan kesunyian dalam perut Amonit. Matanya bersinar luas dengan kekaguman dan jarinya ditudingkan ke arah apa yang kelihatan seperti sebuah kolam di dalam lautan.
Nazry mengalihkan pandangannya, “Ya, itulah salah satu keindahan laut dalam. Brine pool terbentuk disebabkan kandungan garam pada batuan tersejat lalu mengalir ke dalam kolam. Tahap kemasinan brine pool adalah lima kali ganda daripada air laut dan berketumpatan tinggi.” Ucap Nazry kepada Fikri dan Ikwan.
Fikri tercabar dengan pengetahuan Nazry. Perasaan iri hati masih menguasai diri.
“Tetapi mengapa pula terdapat buih-buih datang daripada brine pool menghala ke arah kita?” Ikwan bertanya dengan keningnya berkerut.
Nazry mencondongkan sedikit kepalanya ke sisi apabila mendengar kata-kata Ikwan, dirinya jelas sekali keliru. Manakala Fikri mengerutkan dahinya dan mengalihkan muka ke brine pool sekali lagi untuk melihat ‘buih-buih’ yang disebut oleh rakannya itu. Matanya terbuntang luas usai mengesahkan memang benar kata-kata Ikram apabila brine pool sedang mengeluarkan buih-buih yang menghala ke arah Amonit.
“Entah-entah … cepat berlindung! Buih metana sedang menghala ke atas permukaan!” Laung Nazry.
Namun sebaik sahaja dirinya sedar tentang sebatian kimia dalam gabungan gas dan air tersebut, buih metana telah pun membentuk gabungan hingga menghasilkan satu mampatan yang kuat dan menolak kapal selam Amonit untuk berlanggar dengan batu-batu karang di dalam lautan. Bunyi benda bergeser menyakitkan telinga.
Cip minda Nazry tidak mampu untuk memproses apa yang sedang berlaku. Semuanya berlaku dengan pantas. Dia telah jatuh dari kerusinya apabila Amonit mula berpusing mengikut arah pusingan jam di dalam permukaan air. Nazry dapat merasakan tubuhnya terpelanting ke dinding dalam perut Amonit hingga kepalanya terhantuk pada tetulang besi.
Entah dalam beberapa ketika, mata Nazry terpejam. Sistem data dan sistem operasi dalam tubuh Nazry tergendala dan tidak berfungsi dengan sempurna. Apabila semuanya pulih, Nazry dengan segera menolak tubuhnya dari lantai. Tangannya dengan serta merta menyentuh kepalanya. Di skrin pandangannya tertulis : Gangguan sistem.
Ikwan sedikit panik. Ruang dalam Amonit gelap. Hanya sebuah lampu picit digunakan untuk menjadi sumber cahaya.
“Apa yang telah terjadi? Bagaimana pula dengan Amonit?” Nazry mula melemparkan soalan demi soalan yang menampakkan kegelisahannya.
Fikri mencebik melihat masalah yang dialami oleh Nazry. Dia masih beranggapan bahawa Nazry tidak boleh mengetuai misi ke dunia Hadal.
Ikwan bergegas ke buritan Amonit untuk mengambil beg peralatannya di dalam almari. Tangannya ligat membuka beg yang berbentuk segi empat tepat itu. Dia mengeluarkan beberapa peralatan. Dia perlu menguji keupayaan cip minda Nazry agar diyakini berfungsi seperti biasa dalam konfigurasi sebagai robot industri untuk mengendalikan semula Amonit. Ikwan perlu membetulkan segala kerosakan elektrikal atau mekanikal. Nazry yang merupakan humanoid sememangnya dicipta untuk mengendalikan Amonit. Dia merupakan android, iaitu robot manusia lelaki yang fizikalnya sama seperti manusia biasa tetapi beroperasi mengikut pengaturcaraan dan program yang telah ditetapkan. Nazry sendiri adalah simbol kejayaan para saintis di Malaysia dalam membangunkan humanoid.
Nazry hanya berdiam diri untuk membiarkan Ikwan membetulkan segala kemungkinan kerosakan yang dialaminya. Nazry tidak lagi bertanyakan soalan. Dia hanya meminta bantuan Fikri untuk melihat sistem Amonit. Jikalau timbul apa-apa masalah kepada Amonit akibat kemalangan daripada buih metana itu tadi, mereka perlu cuba berhubung dengan kapal induk melalui interkom untuk menarik semula Amonit menggunakan kabel yang menghubungkan kapal selam dengan kapal induk di permukaan lautan. Mereka tidak mempunyai pilihan lain yang lebih konkrit. “Nampaknya semua bahagian di dalam Amonit tidak dapat berfungsi termasuklah alat daya keapungan kapal selam. Namun, kita bernasib baik kerana oksigen kecemasan cukup untuk menampung penggunaan sekurang-kurangnya 3 jam lagi. Aku juga mendapati bahawa lampu sorot Amonit masih boleh berfungsi dengan baik.” Ujar Fikri setelah usai melakukan kerjanya. Dia tidak tahu bagaimana tangki ballast yang akan mengapungkan Amonit berteraskan prinsip