Seperti dinyatakan dalam tulisan terdahulu bahawa minat British mula menyerlah untuk menguasai Sarawak pada sekitar 1930an.
Pelantikan Penasihat British adalah antara usaha yang mereka jalankan untuk campurtangan dalam pentadbiran Sarawak.
Dalam hal ini jelas menunjukkan bahawa pelantikan W. E. Pepys sebagai penasihat menjadi mata dan telinga British untuk mengetahui hal ehwal pentadbiran Raja Brooke di Sarawak.
Bagi menambah usaha untuk melibatkan British dalam mengawasi pentadbiran di Sarawak, maka langkah seterusnya dilakukan untuk mendesak kerajaan Brooke mendatangani perjanjian tambahan dengan kerajaan British.
Perjanjian tambahan ini berkaitan dengan usaha melantik wakil Kerajaan British dalam mengawasi bukan setakat hubungan luar dan pertahanan tetapi juga mempunyai hak untuk mendapatkan rekod dan dokumen kerajaan negeri.
Tambahan itu wakil kerajaan British ini juga akan diberi hak untuk menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi dan Council Negeri. Wakil ini juga boleh dijemput untuk berbincang dalam kedua-dua badan tersebut.
Namun demikian kehadiran beliau ini tidak mempunyai kuasa mengundi. Perjanjian tambahan ini ditandatangani wakil kerajaan Brooke iaitu Le Gros Clark dengan wakil kerajaan British K. H. Digby. Perjanjian tambahan ini ditandatangani pada 23 Oktober 1941.
Namun demikian pelaksanaan perjanjian ini diganggu apabila Jepun menyerang dan menawan Asia Tenggara. Sarawak juga jatuh ke tangan tentera Jepun pada penghujung 1941.
Kegagalan melaksanakan perjanjian ini tidak melenyapkan usaha British merancang menguasai Sarawak. Semasa dalam tempoh Perang Dunia Kedua , usaha diteruskan untuk meneruskan rancangan sebelum perang itu.
Perancangan Kabinet Perang
Pada masa era Perang Dunia Kedua, Kerajaan British telah merancang untuk menyusunkan pentadbirannya di Asia Tenggara. Sejak sewal 1942, sudah ada sebuah unit di Pejabat Tanah jajahan untuk mengendali pentadbiran selepas perang diwujudkan iaitu Malayan Planning Unit.
Bagi wilayah sebelah Borneo pula diwujudkan Borneo Planning Unit (BPU). BPU yang diwujudkan ini lebih kepada usaha untuk menubuh sebuah kerajaan tentera di Sarawak (termasuk di Brunei dan Sabah) selepas perang. Kerajaan tentera ini akan mengendali usaha pemulihan di Sarawak dalam pelbagai aspek.
Pada 22 Januari 1944, Setiausaha Negara untuk Tanah Jajahan, Kolonel Oliver Stanley meminta diadakan mesyuarat dalam Kabinet Perang British untuk membentuk jawatankuasa bagi membincangkan perlembagaan masa depan untuk Borneo (termasuk Tanah Melayu).
Pelbagai cadangan diusulkan mengenai masa depan bagi tanah jajahan British ini di Asia Tenggara termasuk Borneo. Bagi Sarawak telah dicadangkan kepada pemerintah Raja Brooke menerima pemakaian Foreign Jurisdiction Act di Sarawak.
Tujuan pengenalan akta ini adalah untuk membolehkan kerajaan British menjalankan usaha mengawal pentadbiran di Sarawak. Penasihat British di Sarawak ini akan bertanggungjawab kepada Gabenor Jeneral di Singapura.
Kuasa Menasihat
Dalam hal ini Stanley amat berharap agar satu perjanjian dibuat untuk membolehkan Penasihat British bertindak seperti residen British dimana nasihatnya perlu diikuti.
Sementara itu jawatankuasa untuk Tanah Melayu dan Borneo telah mengadakan dua kali mesyuarat. Kabinet Perang telah bersetuju untuk mengesahkan laporan tersebut yang meliputi cadangan mewujudkan satu kerangka pertahanan bersama antara Tanah Melayu dan Borneo.
Idea utama dalam laporan ini lebih kepada menyusunan semula dan memusatkan pentadbiran di Tanah Melayu. Kerajaan Brooke pula memperlihatkan ada kecondongan untuk menyerahkan Sarawak.
Rundingan
Dalam hal ini Raja Vyner Brooke telah menghantar wakil kerajaannya iaitu H. D. Aplin berbincang dengan Gent di Pejabat Tanah Jajahan. Gent telah menjelaskan keperluan untuk pihak kerajaan British untuk memantau pentadbiran kerajaan Brooke seperti dalam perjanjian tambahan yang dibuat sebelum ini.
Sementara itu isu penganti Raja Vyner Brooke juga berlegar dalam topik perbincangan apabila kesihatan pewarisnya Betram Brooke bertambah merosot. Oleh itu anaknya iaitu Anthony Brooke mula memain peranan dalam hal ini dan berusaha juga terlibat dalam perangkaan masa depan Sarawak.
Kerajaan Sementara
Setelah berunding dengan Betram Brooke, Raja Vyner Brooke bersetuju untuk membentuk Kerajaan Sementara dengan diketuai oleh Anthony Brooke. Kerajaan Sementara ini juga dianggotai F. H. Pollard dan T. Corson.
Kerajaan Sementara ini memain peranan berunding dengan kerajaan British tentang masa depan Sarawak. Rundingan antara kedua-dua pihak dibuat pada 13 Mac 1945.
Wakil kerajaan British adalah Stanley, Gent dan empat pegawai rendah yang diadakan di Pejabat Tanah Jajahan. Perbincangan antara kedua-dua pihak ini sering membawa kebuntuan dalam mencapai keputusan apabila Anthony Brooke mendakwa bahawa sebarang perbincangan dengan kerajaan British perlu dimaklumkan dahulu dengan rakyat Sarawak.
Gent menegaskan bahawa Sarawak menurut Undang-undang Antarabangsa adalah wilayah British dan bukan negara asing. Anthony Brooke pula membalas bahawa beliau perlu merujuk pula kepada penasihat undang-undangnya dan berhasrat juga untuk mendapat khidmat dua hakim terbilang antarabangsa iaitu H. Wynn Parry dan Arnold D. McNair.
Perubahan Kerajaan
Tindakan Anthony Brooke ini menyebabkan Stanley mengadu kepada Raja Vyner Brooke menerusi surat dihantarkannya pada pertengahan Julai 1945 bahawa wakil Sarawak itu tidak tidak menunjukkan minat kepada cadangan kerajaan British.
Pada masa sama kerajaan Buruh dibentuk di London, dan mempunyai dasar berbeza dengan kerajaan sebelumnya. Kabinet kerajaan ini memutuskan pada 3 September 1945 bahawa pemerintahan Rajah Brooke harus ditamatkan tertakluk kepada pembayaran pampasan.
Pada Oktober 1945 Raja Vyner Brooke telah menamatkan kerajaan sementara dan beliau menjadi wakil berunding dengan kerajaan British. Raja Vyner Brooke merasakan bahawa kewujudan pemerintahan beraja di Sarawak tidak lagi sesuai pada zaman tersebut.
Beliau juga merasakan Sarawak harus diserahkan kepada kerajaan British. Kerajaan British secara tidak rasminya menerima pelawaan Raja Vyner Brooke. Untuk tujuan itu dicadangkan agar satu suruhanjaya siasatan bebas dilakukan.
Usaha mengambil Sarawak oleh British ini diteruskan dengan pelbagai langkah yang dianggap oleh British sebagai mengikut undang-undang. Raja Vyner Brooke pula menggunakan segala kelebihannya untuk membantu melancarkan penyerahan ini.
Usaha kedua-dua pihak ini dirancang dengan teliti dan dipastikan akan tercapai.
Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Progran Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.