PERASMIAN… Majlis Penutupan Seminar, TTX & Latihamal Latika Andaian Sarawak 2022 oleh DCP Dato’ Kasuahdi Ali, Timbalan Pengarah JKDNKA (PGA) PDRM di Markas Ibu Pejabat Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am diringi SAC Saini Bongkek, Komander Briged Sarawak PGA bersama ACP Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah, Timbalan Komander Briged Sarawak PGA yang didahului dengan Hormat Panglima oleh Kawalan Kehormatan dan pemeriksaan baris di Kuching.
KUCHING: Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Bukit Aman menganjurkan Seminar, TTX dan Latihamal ‘Latika Andaian Sarawak 2022’ di Ibu Pejabat Briged Sarawak PGA Kuching di sini pada 13 hingga 16 Mac lalu.
‘Latika Andaian’ yang bermaksud Latihan Ketenteraman Awam sekiranya sesuatu insiden berlaku.
Sementara itu, Latihamal Fasa Satu diadakan di Sandakan Sabah pada 29 Disember 2021 dan Fasa Kedua diadakan di Briged Sarawak PGA melibatkan jumlah keseluruhan peserta seramai 239 pegawai dan anggota merangkumi 39 pegawai untuk sesi Seminar dan TTX dan 200 pegawai serta anggota bagi sesi Latihamal dan Dynamic Display.
Penganjuran program ini diterajui Senior Asisten Komisioner Polis (SAC) Gerakan Jabatan KDNKA selaku Ketua Penyelaras Program merangkap fasilitator, Srikumar Madhavan Nair yang dibantu barisan fasilitator berpengalaman seperti Komander 69 Komando, SAC Abdul Razak Mohd. Yusoff, Ketua Penolong Pengarah (Krisis dan Bencana) Bahagian Gerakan Jabatan KDNKA, SAC Ahmad Zailani Yaacob serta urus setia dan tenaga kerja dari Jabatan KDNKA, Bukit Aman.
Komander Briged Sarawak, Pasukan Gerakan Am, SAC Saini Bongkek berkata, tujuan penganjuran program ini adalah sebagai langkah kesiapsiagaan semua Ketua Polis Daerah, Pegawai Pemerintah Batalion PGA dan elemen KDNKA di Kontinjen Sarawak, terhad kepada PDRM sahaja meliputi aspek pengurusan krisis dan keganasan dari segi teori dan juga praktikal.
“Program ini turut diserikan dengan Lawatan Kerja Rasmi oleh Pengarah Jabatan KDNKA, PDRM, CP Dato’ Hazani Ghazali ke Ibu Pejabat Briged Sarawak PGA pada 15 Mac 2022 disusuli dengan Lawatan Kerja Rasmi oleh Timbalan Pengarah Jabatan KDNKA (PGA) PDRM, DCP Dato’ Kasuahdi Ali dan seterusnya merasmikan Majlis Penutupan Seminar, Table Top Exercise (TTX) dan Latihamal ‘Latika Andaian Sarawak 2022’ di Dewan Pahlawan Ibu Pejabat Briged Sarawak PGA,” katanya.
Ujar beliau, salah satu keutamaan Jabatan KDNKA adalah memantap dan memperkasakan latihan serta kursus Jabatan KDNKA yang sedia ada melalui penambahbaikan dan menganjurkan kursus atau latihan baharu yang bersesuaian dengan konsep pengoperasian pada masa kini.
“Justeru, latihamal ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi mengemaskan lagi kepakaran semua Ketua Polis Daerah, Pegawai Pemerintah Batalion PGA dan elemen KDNKAsupaya dapat memainkan peranan masing-masing dengan lebih berkesan dan sempurna dalam situasi sebenar,” ujarnya.
Oleh NUR AIN OTSMAN